Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jam tangan Patek Philippe dilelong dengan harga AS$17.6 juta

    GENEVA, 10 NOV – Sebuah jam tangan Patek Philippe yang pada 2016 pernah memegang rekod sebagai jam tangan paling mahal dijual dalam lelongan kembali mencatat harga lebih tinggi pada hujung minggu ini, menurut rumah lelong Phillips pada Ahad.

    Jam itu terjual pada harga 14,190,000 franc Switzerland (AS$17.6 juta), mengatasi 11 juta franc yang dicapai sembilan tahun lalu, bersamaan AS$11 juta ketika itu.

    Patek Philippe Perpetual Calendar Chronograph Reference 1518, dihasilkan pada 1943, merupakan satu daripada hanya empat unit yang diketahui dibuat menggunakan keluli tahan karat, menjadikannya lebih bernilai berbanding versi emas kerana tahap kelangkaannya.

    Rekod dunia yang dicatat jam tangan itu pada 2016 telah dilepasi pada 2017 apabila Rolex Daytona milik bintang Hollywood Paul Newman terjual pada harga AS$17.8 juta. Rekod itu kemudiannya dipecahkan pada 2019 oleh Patek Philippe Grandmaster Chime yang terjual pada harga AS$31 juta.

    Namun, jualan model keluli 1518 pada hujung minggu ini mengukuhkan statusnya “sebagai salah satu jam tangan paling signifikan dalam sejarah,” kata Phillips.

    Phillips memaklumkan proses jualan itu mengambil masa kurang sembilan setengah minit, dengan lima pembida bersaing sebelum jam itu akhirnya dibeli oleh pembida melalui telefon.

    Beberapa pengumpul, peniaga dan pembuat jam terkenal turut hadir menyaksikan lelongan di Hotel President, Geneva.

    Menurut Phillips, memiliki Ref. 1518 dianggap sebagai tahap tertinggi dalam dunia pengumpulan jam.

    Dilancarkan pada 1941, ia merupakan kronograf kalendar kekal pertama yang dihasilkan secara bersiri di dunia.

    Patek Philippe menghasilkan kira-kira 280 unit Ref. 1518, kebanyakannya dalam emas kuning, manakala sekitar satu perlima dalam emas merah jambu.

    Hanya empat unit keluli tahan karat diketahui wujud, dan jam yang dilelong kali ini ialah yang pertama dihasilkan daripada empat unit tersebut. Sebab Patek Philippe memilih untuk menghasilkannya dalam keluli kekal menjadi misteri. – AFP

    Jam tangan Patek Philippe Reference 1518 yang jarang ditemui, dijangka mencecah lebih 10 juta dolar pada lelongan rumah Phillips di Geneva pada 8 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda