Oleh Amri HTZ –
Pernahkah terfikir di benak apabila melihat kayu rebah terbiar tanpa dimanfaatkan merupakan suatu pembaziran?
Material sedemikian jika diolah boleh menghasilkan sesuatu yang luar biasa sebagai perhiasan. Dengan peralatan yang bersesuaian, mengolahnya menjadi suatu yang bermanfaat setentunya boleh menghasilkan pendapatan sampingan terutamanya kepada para pengamal DIY.
Sediakan barangan lebih awal
• Mitre saw
• Alat pelentur besi bar
• Pita pengukur
• Center punch
• Pen penanda
• Mesin kimpal
• Mesin gerudi
• Kikir
• Mesin router
• Kertas pasir (berukuran 60,180 dan 320 grit)
• Bench vise
• Wood finish jenis Tung Oil
• Besi flat bar 1 ¼ inci
• Mesin pemotong (grinder)
Sukat dan potong
Besi flat bar tersedia terlebih dahulu disukat dan ditandakan dengan panjang 13 inci setiap satu bahagian. Memandangkan rangka utama mempunyai empat sudut, panjang keseluruhan besi diperlukan kira-kira 52 inci. Gunakan pen penanda yang terang bagi memudahkan ia dirujuk semula. (gambar 1)
Setelah menandakan permukaan besi, potong gunakan mesin grinder. Terlebih dahulu tetapkan kedudukan besi pada bench vice sebagai keselamatan. (gambar 3)
Memandangkan bingkai rekaan mempunyai sudut membulat, ini membuatkan awda perlu membentuk besi flat bar tersebut menggunakan alat pelentur besi. Namun jika alat tersebut tidak dimiliki, awda hanya perlu tetapkan kedudukan besi pada bench vise dan lenturkan besi sehingga 90 darjah. Pastikan bahagian pertemuan hujung besi berada di bahagian tengah salah satu bahagian bingkai. Setelah melakukannya, kimpal cantuman tersebut. (gambar 4)












Bahagian dalam rekaan nanti akan ditempatkan dengan potongan kayu sebagai papan utama jam. Bagi membolehkannya ditetapkan, pendakap perlu direka juga menggunakan besi flat bar. Terlebih dahulu tebuk bahagian tengah besi sebelum memotongkannya dengan ukuran 1 ¼ inci x 1 ¼ inci. (gambar 5)
Potongan pendakap tersebut kemudiannya akan dikimpal pada besi bingkai. Kimpal sepenuhnya bahagian cantuman agar kukuh tanpa hanya melakukan tack weld. Dua keping pendakap akan ditempatkan pada bahagian atas dan bawah, sementara kiri dan kanannya cukup hanya dengan satu pendakap. (gambar 6)
Potong kayu sesuai bingkai
Kayu tersedia perlulah diratakan terlebih dahulu permukaannya menggunakan ketam kayu. Pemilihan bentuk kayu perlulah ditekankan dalam rekaan ini untuk menjadikan rekaan unik. Bagi mengukurnya dengan tepat sebelum pemotongan, gunakan bingkai yang telah siap direka sebelumnya. (gambar 7)
Setelah menandakan panjang kayu, potong menggunakan mesin mitre saw. Dua kepingan kayu diperlukan untuk ditempatkan pada bahagian dalam bingkai dengan bahagian tengah mempunyai ruang kosong. (gambar 8)
Kayu yang telah dipotongkan dengan panjang diperlukan kemudiannya akan dipotong lagi untuk menentukan lebarnya. Langkah ini juga memerlukan awda menempatkan bingkai rekaan pada permukaan kayu untuk mendapatkan bentuk kasar rekaan. Setelah menentukan kedudukan antara kedua-dua kayu, tandakan lebar kayu menggunakan pensel penanda. (gambar 9)
Kemudian kayu yang telah dipotong akan diketam lagi mengikut ketebalan yang sesuai dengan lebar flat bar digunakan pada bingkai. Pada bahagian pendakapnya, bagi memastikan kedudukannya selaras ketika dimasukkan ke dalam bingkai, awda perlu mereka ruangan untuknya menggunakan mesin router atau pahat. (gambar 10)
Sementara bagi menempatkan mekanisme jam, bahagian belakang rekaan juga perlu direka dengan ruangan khusus untuknya. Selain itu bahagian tengah ruangan mekanisme jam tersebut turut akan ditebuk untuk membolehkan jarum jam dipasangkan. Gunakan mesin router bermatakan straight bit. (gambar 11)
Bingkai rekaan pada langkah akhir perlu ditutup dengan permukaan luarannya agar tidak mudah berkarat. Cat berwarna hitam khusus besi perlu digunakan pada langkah ini.
Sementara untuk permukaan kayu pula akan disapukan dengan Tung Oil. Dengan langkah ini, ia akan membuatkan ira-ira kayu yang tersembunyi menyerlah. (gambar 12)
Tip
• Permukaan besi yang hendak dikimpal perlulah bebas daripada sebarang cat bagi memastikan kimpalan berjaya.
• Kekuatan voltan mesin kimpal perlulah disesuaikan dengan ketebalan besi dan pastikan berlakunya penetration agar kimpalan kukuh.
• Sudut kayu yang mempunyai permukaan membulat boleh didapatkan dengan cara memotongnya menggunakan mesin jig, ketam kayu manual atau mesin kertas pasir.









