LOS ANGELES, 14 Julai – Juara bertahan Mexico gagal memanfaatkan penguasaan mereka apabila mereka terikat seri tanpa jaringan oleh Jamaica dalam aksi Piala Emas CONCACAF awal pagi tadi.
Dalam satu perlawanan ulangan final 2015 yang dimenangi oleh Mexico, El Tri mendominasi penguasaan bola tetapi gagal menembusi pertahanan Jamaica yang diketuai oleh penjaga gol Andre Blake.
Keputusan seri itu, merupakan perlawanan kedua Kumpulan C di Denver, Colorado, menjadikan kedua pasukan berkongsi empat mata selepas dua perlawanan.
El Salvador berada di kedudukan ketiga dalam kumpulan dengan tiga mata selepas menang 2-0 ke atas Curcacao.
Rodolfo Zelaya memberikan umpanan gol bagi Gerson Maye pada minit ke-21 dan selang tiga minit kemudian dia sendiri menjaringkan gol bagi memastikan kemenangan El Salvador.



Dua pasukan teratas setiap kumpulan mara ke peringkat kalah-mati, dengan dua pasukan terbaik yang berada di kedudukan ketiga dari tiga kumpulan juga akan mara ke suku akhir.
Dalam separuh masa pertama yang hambar, peluang terbaik dihasilkan oleh penyerang Mexico Erick Torres. Pemain Houston Dynamo itu telah menewaskan Blake tetapi tandukannya di minit ke-23 itu tersasar.
Peluang yang nyaris menembusi gawang itu telah menghidupkan penyokong, tetapi gagal merangsang para pemain. Torres terpaksa keluar padang buat seketika apabila mengalami luka di tangannya selepas satu cabaran kasar pada minit ke-27 oleh pemain Jamaica, Damion Lowe.
Pada minit ke-38, tandukan Jesus Molina telah mengelirukan Blade tetapi pemain pertahanan Jermaine Taylor berjaya membuang bola di atas garisan gol.
Mexico mula bermain dengan lebih garang di separuh masa kedua, dengan Blake dipaksa membuat satu aksi menyelamat bagi menafikan rembatan Elias Hernandez dari luar petak pada minit ke-53.
Sementara satu lagi tandukan dari tengah kawasan petak bahaya juga telah diselamatkan penjaga gol Jamaica itu.
Jurulatih Mexico, Juan Carlos Osorio, yang telah membuat empat perubahan daripada pasukan yang menewaskan El Salvador 3-1 dalam perlawanan pembukaan, hanya mampu menyaksikan perlawnan itu di suite stadium kerana menjalani penggantungan enam perlawanan oleh FIFA kerana menghina para pengadil ketika Piala Konfederasi Rusia bulan lepas.
Kebanyakan penyokong Mexico daripada 49,000 yang menghadiri perlawanan itu di Sports Authority Field menuju ke pintu keluar di akhir perlawanan.
Aksi Kumpulan C akan diteruskan hujung minggu ini apabila Mexico bermain menentang Curacao dan Jamaica berdepan dengan El Salvador di San Antonio, Texas. – AFP