Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jamal Abdillah mohon maaf rakyat Malaysia

    Penyanyi bertaraf legenda, Datuk Jamal Abdillah mohon maaf kepada rakyat Malaysia atas salah faham yang berlaku selepas kesilapannya memenuhi pelawaan makan durian sambil berkaraoke di sebuah ladang di Kampung Poh, Bidor, Perak pada Jumaat lalu.

    Mengulas dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP), Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Jamal berharap, orang ramai tidak mencontohi kesilapannya.

    “Saya ingin mohon maaf. Salah atau tidak, saya tetap nak minta maaf. Sebagai rakyat Malaysia, saya sepatutnya peka dengan SOP dan situasi semasa dalam pandemik COVID-19.

    “Tetapi, itulah keadaan saya seperti ditelan mati mak, diluah mati bapa. Dalam mahu menjaga hati orang, tetapi saya tidak sedar tindakan saya salah.

    “Jadi, saya minta maaf banyak-banyak pada rakyat Malaysia. Janganlah mencontohi apa yang saya lakukan,” katanya.

    Menjelaskan situasi sebenar, Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Mohd Ali berkata, dia berada di ladang berkenaan bagi mendapatkan baja perniagaan kolam ikan yang diusahakan.

    “Apabila saya berada di sana, kawan-kawan mempelawa saya makan durian kerana secara kebetulan, durian banyak gugur pada hari berkenaan. Disebabkan peminat, saya tidak mahu bersikap menyombong, jadi duduk makan,” katanya.

    Penyanyi lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu percaya, rakannya itu mungkin menghantar mesej kepada rakan lain.

    “Seorang demi seorang datang, jadilah seperti satu majlis. Mahu dijadikan cerita, ada pula set karaoke di situ. Ketika makan saya buka pelitup muka dan mereka minta saya menyanyikan lagu.

    “Mungkin ada individu di kampung berkenaan tidak puas hati dan menularkan gambar kami. Disebabkan itu, saya katakan perkara ini seperti ditelan mati mak, diluah mati bapa,” katanya. – Agensi

    Datuk Jamal Abdillah mohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kesilapannya melanggar prosedur operasi standard (SOP), Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda