BETONG, 25 MEI – Jambatan Batang Saribas 1 berhampiran Pusa, menjadi jambatan kelima yang siap dibina di bawah projek Rangkaian Jalan Pesisir Sarawak, menandakan satu lagi pencapaian besar dalam pembangunan infrastruktur negeri itu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata jambatan bernilai RM375.5 juta itu kini dibuka kepada orang ramai, sekali gus menamatkan kebergantungan terhadap perkhidmatan feri untuk menyeberang Sungai Saribas selama beberapa dekad.
“Jambatan ini, bersama dengan jambatan lain yang sedang dibina di sepanjang pesisir Sarawak adalah sebahagian daripada strategi untuk meningkatkan kesalinghubungan jalan raya, khususnya bagi komuniti luar bandar,” kata Uggah yang mewakili Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada majlis praperasmian jambatan hari ini.
Sebelum pembukaan jambatan sepanjang 1.55 kilometer itu, empat lagi projek jambatan yang telah siap dibina iaitu Jambatan Batang Rajang, Muara Lassa, Marudi dan Jepak, selaras dengan usaha kerajaan Sarawak untuk merealisasikan rancangan membina keseluruhan 16 jambatan di bawah Rangkaian Jalan Pesisir.
Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata enam lagi jambatan dijangka siap tahun ini, iaitu di Sungai Lingga, Batang Igan, Batang Lupar 1, Sungai Limbang, Sebauh dan Sejingkat.
Uggah berkata menjelang tahun depan, kerajaan negeri menyasarkan untuk menyiapkan jambatan Batang Paloh, Krian, Batang Lupar 2 dan Batang Saribas 2.
Beliau berkata kementeriannya dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan memastikan para kontraktor mematuhi garis masa projek serta standard kualiti dalam menyiapkan semua jambatan berkenaan, yang bakal membawa impak transformasi kepada kesejahteraan sosial dan ekonomi komuniti luar bandar. – Bernama
