Thursday, May 1, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jambatan Batang Sadong buka pembangunan baharu di Sebuyau

    SEBUYAU, SARAWAK – Pengalaman pahit terpaksa menunggu lama untuk menaiki feri dari Sebuyau, Sarawak ke kawasan berhampiran sudah berakhir buat Suri Nyayong, 58, setelah siapnya Jambatan Batang Sadong dengan kos RM231 juta pada 2016.

    “Kini saya bersyukur kerana sejak ada jambatan itu, mudah bagi kami ke Bandar Raya Kuching sama ada untuk mendapatkan bekalan makanan ataupun untuk menjual hasil tani dan produk kampung lain yang kami hasilkan,” kata suri rumah itu kepada Bernama.

    Bagi penduduk Sebuyau, sebuah kawasan penempatan pesisiran pantai antara dua sungai besar iaitu Sungai Batang Sadong dan Sungai Batang Lupar, pengalaman menaiki feri sudah pasti terpahat dalam kenangan berikutan risiko yang perlu dihadapi seperti cuaca buruk, arus sungai deras serta gelombang yang boleh menyebabkan keadaan feri agak tidak stabil.

    Jambatan Batang Sadong sepanjang kira-kira 1.5 kilometer merentasi Sungai Batang Sadong membawa pembangunan yang besar ke kawasan itu. Projek itu dimulakan dalam bulan Julai 2012 sebelum siap empat tahun kemudian dan dibuka untuk kegunaan orang awam pada Oktober 2016.

    Siapnya projek jambatan itu juga telah membuka lembaran baharu kepada kira-kira 50,000 penduduk di Daerah Samarahan dan Simunjan, dengan Sebuyau yang merupakan daerah kecil di bawah Simunjan tidak tersisih daripada menikmati pembangunan ini.

    Pemandangan Jambatan Batang Sadong sepanjang kira-kira 1.5 kilometer merentasi Sungai Batang Sadong yang mampu membawa pembangunan ke kawasan tersebut. – Bernama
    Penumpang dan kenderaan menggunakan perkhidmatan Feri Batang Lupar untuk menyeberangi Sungai Batang Lupar ketika tinjauan Bernama di Pangkalan Feri Sebuyau. – Bernama
    Pembinaan Jambatan Sungai Batang Lupar, Sebuyau giat dijalankan ketika tinjauan Bernama. Projek pembinaan jambatan sepanjang 5.1 kilometer itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada bulan Mac yang lepas dan dijangka siap pada tahun 2025. – Bernama

    Ia menjadi satu daripada infrastruktur utama dalam pembangunan projek Jalan Pesisir Sarawak yang memudahkan pergerakan pengguna jalan raya dari selatan Sarawak hingga ke Bandar Raya Miri di bahagian utara negeri.

    Selain itu, ia turut mengakhiri kesulitan pengguna yang telah puluhan tahun terpaksa menggunakan perkhidmatan feri untuk menyeberangi Sungai Batang Sadong mengambil masa sekurang-kurangnya setengah jam melepasi sungai berukuran lebih satu kilometer lebar itu untuk meneruskan perjalanan mereka.

    Dengan adanya jambatan itu, perjalanan ke Bandar Raya Kuching kini hanya kira-kira dua jam 30 minit berbanding lebih empat jam termasuk menaiki feri sebelum adanya jambatan itu.

    Jessi Peli Ngumbang, 72, menjadi saksi pelbagai perubahan positif yang berlaku di pekan kelahirannya dan jambatan itu adalah antara projek terkini yang banyak membawa perubahan kepada kehidupan penduduk setempat.

    “Sejak siapnya Jambatan Batang Sadong, suasana Pekan Sebuyau kian meriah dan sering menerima kedatangan pengunjung terutamanya di hujung minggu untuk merasai sendiri ketenangan serta suasana pekan yang jauh dari hiruk-pikuk bandar,” kata anak jati Sebuyau itu.

    Selain itu, inisiatif lain oleh kerajaan Sarawak yang dihargai Suri adalah projek Tebatan Banjir dilaksanakan Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) dengan kos RM675 juta yang telah pun bermula dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2023.

    Dengan kedudukan yang dihimpit Sungai Batang Sadong dan Sungai Batang Lupar, Sebuyau menerima kesan positif awal daripada pelaksanaan projek ini bertujuan untuk menghalang kemasukan air masin, khususnya ke kawasan pertanian.

    “Kami tidak begitu risau lagi sejak projek tebatan ini bermula. Keadaan sekarang tidak seperti tahun-tahun sebelum ini apabila Pekan Sebuyau dilanda banjir setiap kali paras air sungai naik,” kata suri rumah itu menceritakan kejayaan projek tersebut yang akan turut memanfaatkan penduduk di Asajaya, Gedong dan Simunjan.

    Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang meninjau kemajuan projek tebatan banjir itu baru-baru ini berkata inisiatif tersebut dilaksanakan secara berperingkat melibatkan kawasan sepanjang 26.5 kilometer di garisan pantai, sekali gus akan membantu meningkatkan lagi sosioekonomi rakyat di kawasan berkenaan.

    Projek pembangunan utama lain yang sedang dilaksanakan di sini adalah Bandar Baru Sebuyau dan projek perumahan mampu milik di kawasan seluas 16.74 hektar dan beliau optimis tentang kesan-kesan pembangunan ini dalam merubah taraf hidup rakyat di situ.

    “Kawasan ini akan membangun dengan cepat dengan adanya infrastruktur yang kami sediakan,” kata Abang Johari.

    Nama Sebuyau asalnya diambil daripada perkataan suku kaum Melanau iaitu Buyo yang bermaksud ketam, berikutan banyaknya hidupan laut itu. Namun ketam tidak lagi menjadi tarikan utama apabila ia lebih dikenali sebagai antara kawasan habitat terubuk, spesies ikan yang begitu sinonim dengan Sarawak dan menjadikan Sebuyau sebagai tumpuan pengunjung.

    “Kalau tiba sahaja musim ikan seperti terubuk dan sebagainya, maka meriahlah keadaan di Pekan Sebuyau ini, kerana kesegaran ikan-ikan yang baharu sahaja ditangkap oleh nelayan kemudian dijual terus di pasar, menjadi tarikan pengunjung,” kata Peli. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda