KUCHING, 25 Okt – Jambatan Gantung Satok, yang mencatat banyak sejarah sebelum ia runtuh pada 7 Oktober 2004, bakal dibina semula dengan kos RM8.5 juta.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Dr Abang Johari Tun Openg berkata keputusan membina semula jambatan gantung berkenaan, yang dibina pada 1926 oleh kerajaan Brooke, dibuat kerana ia mempunyai banyak sejarah selain menjadi tarikan pelancong ke sini.
“Di samping itu, jambatan berkenaan akan memudahkan orang ramai dari seberang sungai ke Medan Niaga Satok,” katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan semula jambatan berkenaan di tapak projek di Medan Niaga Satok di sini, hari ini.
Beliau berkata projek itu akan disiapkan kontraktor, Pekerjaan Piasau Konkrit Sdn Bhd, dalam tempoh 24 bulan iaitu pada 18 September 2019.
Sementara itu, Abang Johari berkata kerajaan negeri merancang untuk membina tiga lagi jambatan yang melibatkan kos sebanyak RM450 juta.

Tiga jambatan itu ialah Jambatan Bako, jambatan berdekatan Emart untuk menghubungkan Sungai Maong dan Batu Kawa serta Jambatan Rambungan yang menghubungkan Matang dengan daerah Lundu.
“Semua jambatan berkenaan adalah bebas tol bagi meneruskan dasar bekas Ketua Menteri Allahyarham Tan Seri Adenan Satem,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri juga mempunyai perancangan untuk membina sebuah jambatan yang akan menghubungkan Kampung Darul Hana dan Bintawa.
Mengenai projek jambatan yang menghubungkan Tebingan Sungai Kuching dengan Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN), yang beliau gelarkan ‘Jambatan S’, Abang Johari berkata jambatan itu diterangi dengan lampu LED, yang akan mengindahkan lagi pemandangan bandar raya Kuching pada waktu malam.
Beliau turut memberitahu bahawa pembinaan jambatan Batang Katibas akan menghubungkan Sibu dengan Kapit.
“Jambatan-jambatan ini dibina untuk menghubungkan bandar dan luar bandar, seterusnya merancakkan pembangunan negeri ini.
“Impian kita adalah untuk menjadikan Sarawak negeri termaju di Malaysia. Ini bukan cakap kosong dan kita mahu rakyat bersama-sama dengan kerajaan untuk bekerja kuat bagi mencapai impian itu,” katanya.
Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Sarawak Tan Sri James Masing dalam ucapannya pula berkata bahawa pembinaan semula Jambatan Gantung Satok akan mengikut reka bentuk asalnya. – Bernama