AROUCA, PORTUGAL, 30 APRIL – Datuk bandar tempatan menaruh harapan akan menarik lebih ramai pelancong, tetapi menyeberangi jambatan gantung pejalan kaki paling panjang di dunia akan menguji orang yang mudah berasa gayat apabila ia dibuka di utara Portugal pada Ahad ini.
Ia digantung pada kabel keluli berat di antara menara konkrit berbentuk V dan merentangi sejauh 516 meter menerusi sebuah ngarai, pada ketinggian 175 meter.
Sebelum perasmian pada Ahad, penduduk dari bandar berhampiran Arouca dibenarkan berjalan menyeberangi grid besi struktur besar itu pada Khamis.
“Perasmian adalah penting kerana ia membolehkan kami meneruskan aktiviti pelancongan kami,” beritahu datuk bandar Arouca Margarida Belem kepada AFPTV. Jambatan merupakan ‘tarikan penting’ untuk rantau itu, tambah beliau.
Struktur bernama ‘516 Arouca’ itu merentasi gaung sungai Paiva, yang telah pun dirangkaikan dengan laluan pejalan kaki kayu sejauh kira-kira lapan kilometer. – AFP
