Sunday, May 11, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jambatan Labuan-Menumbok siap 2023

    LABUAN, 30 Mac – Jambatan Labuan-Menumbok yang menghubungkan pulau bebas cukai ini dengan tanah besar Sabah dijadualkan siap pada 2023, kata Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli (gambar).

    Dia berkata projek itu akan dilaksanakan sebaik sahaja kajian kaedah pelaksanaan untuk projek jambatan itu selesai pada Disember tahun ini.

    “Semasa persidangan Parlimen Rabu lepas, saya telah mengemukakan soalan berhubung perkembangan projek ini. Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan menjawab bahawa kementerian menerusi Perbadanan Labuan telah mengambil tindakan segera untuk melaksanakan kajian pelaksanaan cadangan jambatan itu,” katanya kepada Bernama.

    Mengulas lanjut, perubahan pada tujuan dan skop kajian kaedah pelaksanaan itu menggambarkan komitmen dan kesungguhan kerajaan untuk membina jambatan Labuan-Menumbok yang pastinya memberi manfaat ekonomi dan meningkatkan hubungan antara kedua-dua kawasan iaitu Labuan dan tanah besar Sabah.

    Rozman yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan berkata isu pembinaan jambatan yang sekian lama ini akhirnya terjawab apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Pelan Tindakan Pembangunan Labuan 2030 serta menyerahkan surat lantikan perunding bagi kajian kaedah pelaksanaan pembinaan jambatan itu pada 18 Jan lepas.

    Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Labuan kini sedang dalam proses terakhir memuktamadkan tawaran dan pelantikan syarikat perunding. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda