BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan memaklumkan bahawa Jambatan Penghubung Kampung Bolkiah A dan B pada masa ini ditutup sementara dan tidak selamat digunakan oleh orang awam sehingga kerja-kerja membaik pulih dan membina tiang-tiang cerucuk yang baharu siap dilaksanakan demi keselamatan pengguna.
Sehubungan dengan itu, JKR dalam kenyataannya menambah, sebahagian laluan perairan di bawah jambatan berkenaan juga akan ditutup dan tidak dibenarkan digunakan oleh orang ramai demi keselamatan pengguna perahu dan kapal untuk memberikan laluan kepada pihak pemborong untuk melaksanakan projek kerja-kerja mengganti tiang bagi jambatan penghubung berkenaan yang telah pun bermula pada 23 Mac lalu dan dijangka siap pada 22 April depan.
Kenyataan menjelaskan, kerja-kerja pembaikan termasuk membuang tiang-tiang cerucuk konkrit yang telah patah pada jambatan berkenaan dan dalam perairan, serta menggantikan tiang-tiang cerucuk yang telah patah dengan membina cerucuk baharu menggunakan kaedah underpinning di bawah jambatan berkenaan. Oleh yang demikian, JKR mengingatkan orang ramai, penduduk kampung dan pengguna bot-bot kecil dan kapal agar sentiasa berhati-hati apabila melalui kawasan projek tersebut di samping mematuhi tanda-tanda keselamatan yang dipasang pada kawasan berkenaan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Sebarang pertanyaan serta aduan, orang ramai boleh menghubungi pihak jabatan melalui Talian Darussalam 123 atau Live Chat 8333123, Facebook Jabatan Kerja Raya, Brunei Darussalam atau e-mel pro@pwd.gov.bn.