Thursday, January 16, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jambatan pontun satu-satunya harapan penduduk Brazil

    BRAZIL – Untuk menghadiri janji temu doktor, Paulo Roberto Heineck terpaksa berjalan terdengkot-dengkot kerana kakinya yang cedera melalui sebuah laluan pejalan kaki terapung – satu-satunya akses ke bandar berdekatan selepas banjir yang melanda selatan Brazil menghanyutkan beberapa jambatan beberapa bulan yang lalu.

    “Semuanya lebih sukar sekarang, tetapi kami mesti teruskan juga kehidupan,” kata bapa kepada tiga orang anak dan berusia 54 tahun, dengan betisnya berbalut selepas menjalani pembedahan baru-baru ini.

    Tentera Brazil telah mendirikan lima jambatan pontun sementara di Lembah Taquari, sebuah kawasan pertanian yang merupakan salah satu kawasan paling teruk terjejas oleh banjir bersejarah yang telah menyebabkan hampir 170 orang terkorban dan puluhan lagi hilang.

    Laluan pejalan kaki sempit yang dipasang di atas apungan berbentuk kanu itu pada lazimnya digunakan oleh pasukan tentera semasa konflik selepas pengeboman jambatan.

    Sekurang-kurangnya enam jambatan telah dihanyutkan oleh air banjir di kawasan itu, sekali gus menghalang penduduk daripada menyeberang bandar dengan kereta untuk pergi bekerja, ke sekolah, atau menghadiri janji temu perubatan.

    Seorang lelaki melintasi jambatan pejalan kaki terapung di atas Sungai Forqueta di Rio Grande do Sul, Brazil. – AFP
    Orang ramai menyeberangi jambatan pejalan kaki terapung di atas Sungai Forqueta, di Rio Grande do Sul, Brazil. – AFP
    Orang ramai berjalan selepas menyeberangi jambatan pejalan kaki terapung di atas Sungai Forqueta, di Rio Grande do Sul, Brazil. – AFP
    Gambar AFP
    Pasukan tentera mengumpulkan jaket keselamatan daripada orang ramai yang melintasi jambatan tersebut. – AFP

    Walau bagaimanapun, laluan pejalan kaki baharu itu masih menimbulkan risiko ditambah pula keadaan cuaca buruk yang berterusan menyebabkan ia mudah dihanyutkan, memaksa pihak berkuasa memasang laluan pejalan kaki baharu.

    “Penduduk perlu meneruskan semula rutin mereka dalam masa secepat mungkin,” kata Kolonel Rafael Farias, 46, berdiri bersebelahan laluan pejalan kaki di atas Sungai Forqueta, di bandar Marques de Souza.

    Para penduduk mesti melintasinya dengan berjalan berderet seorang demi seorang, sambil mengenakan jaket keselamatan berwarna jingga terang yang diberikan oleh askar yang ditempatkan di kedua-dua belah tebing sungai.

    Juliani Steffer, seorang penjual pakaian berusia 36 tahun, tiba dengan nafas tercungap-cungap di Marques de Souza, selepas menyeberang dari bandar Travesseiro sambil membawa beg penuh berisi barangan.

    “Orang ramai telah kehilangan banyak pakaian. Oleh kerana mereka tidak dapat datang ke kedai saya dengan kereta, saya pergi ke rumah mereka,” jelasnya.

    Tiada lampu disediakan di atas laluan itu, jadi pergerakan dihentikan pada waktu senja, memaksa penduduk bergegas melintasinya untuk mengelak daripada terkandas di laluan yang salah.

    Sementara itu, jambatan pejalan kaki yang menghubungkan Travesseiro ke Marques de Souza pula terpaksa dirobohkan dua kali kerana arus sungai yang kuat.

    Kira-kira 20 kilometer jauhnya, dua laluan pejalan kaki lain dibina di atas Sungai Taquari, menghubungkan bandar Arroio do Meio ke Lajeado, bandar utama di kawasan itu yang mempunyai 90,000 penduduk.

    Ia mencatat kejayaan yang luar biasa, dengan ribuan orang memarkir kereta mereka di kedua-dua tebing sungai untuk melalui jambatan pontun.

    Walau bagaimanapun, hujan lebat yang melanda telah menghanyutkan sebahagian daripada laluan tersebut dan pihak berkuasa setempat sedang berusaha untuk memasangnya semula, beritahu tentera kepada AFP.

    Sementara itu, tentera dan sukarelawan juga menyediakan lima buah bot untuk menyeberangi sungai, dengan kapasiti keseluruhan 25 penumpang.

    “Laluan pejalan kaki adalah penting kerana Arroio do Meio tidak boleh hidup tanpa Lajeado dan Lajeado tidak boleh hidup tanpa Arroio do Meio,” kata Marta Rosani da Silva, seorang tukang cuci jalan yang bersedia untuk menyeberangi laluan pejalan kaki itu bersama anak lelakinya yang berusia enam tahun, sehari sebelum ribut baharu yang melanda kawasan itu.

    “Sudah tentunya lebih baik mempunyai jambatan yang membenarkan kereta melintasinya,” kata wanita berusia 41 tahun itu.

    “Dulu, ia mengambil masa satu jam untuk pergi bekerja, sekarang mengambil masa tiga jam,” tambahnya.

    Kerajaan persekutuan telah berjanji untuk membina semula jambatan tersebut.

    Sementara itu, penduduk tempatan berusaha untuk mengumpulkan derma melalui inisiatif swasta dan rangkaian sosial untuk mempercepatkan pembinaan semula.

    Untuk membina jambatan Travesseiro sahaja, ia memerlukan perbelanjaan sekurang-kurangnya AS$2 juta.

    “Pihak berkuasa menjanjikan empat juta reais. Kami masih kekurangan enam juta reais,” kata Katia Cristina Lammers, 44, pemilik perniagaan makanan yang mengetuai usaha mengumpul dana di Travesseiro. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda