Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Okt – Penantian orang ramai khususnya penduduk di sekitar kawasan Bandar Seri Begawan dan Sungai Kebun untuk menggunakan Jambatan Sungai Kebun yang baru hampir berakhir apabila jambatan berkenaan akan dirasmikan pada 14 Oktober nanti.
Sementara itu, bagi memastikan kelancaran pergerakan lalu lintas di kawasan berkenaan serta pengguna jambatan itu nanti, jambatan itu akan dibuka secara percubaan bagi tempoh kira-kira 10 hari iaitu bermula 2 Oktober hingga 12 Oktober.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Perasmian dan Peringatan Kenang-kenangan semasa Sidang Media bagi Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta yang berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri, Jalan Perdana Menteri, baru-baru ini.
Beliau juga berkata bahawa jambatan berkenaan akan ditutup semasa majlis perasmian yang akan diadakan pada 14 Oktober nanti.
Mengulas lanjut mengenai majlis perasmian itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin berkata, majlis itu akan diadakan di kawasan berhadapan Tarindak D’Seni, Jalan Residency bermula kira-kira pukul 7:30 malam.
Acara akan menyaksikan perasmian Jambatan Sungai Kebun dan diikuti dengan sesi awal pertunjukan bunga api serta diikuti oleh perarakan sebanyak 37 buah kapal dan perahu berhias dan diakhiri dengan sesi akhir pertunjukan bunga api. Orang ramai boleh menyaksikan perakan kapal dan perahu berhias yang bermula dari kawasan Dermaga Diraja dan sepanjang Jalan Residency iaitu dari Kianggeh hingga Jambatan Sungai Kebun.
“Penyertaan perarakan kapal-kapal dan perahu-perahu berhias dan sambutan semua lapisan masyarakat awam untuk sama-sama menyambut detik gilang-gemilang pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta dengan Acara Perasmian Jambatan Sungai Kebun dan Perarakan Kapal-kapal dan Perahu-perahu Berhias ini, akan menzahirkan rasa kasih dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Baginda.”
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan dalam kenyataannya, memaklumkan orang ramai terutama para penduduk di Mukim Lumapas, Mukim Sungai Kebun dan sekitarnya bahawa jambatan peng-hubung menyeberangi Sungai Brunei dari Kampung Sungai Kebun ke Jalan Residency akan dibuka secara percubaan bermula pada 2 Oktober, pukul 9 malam hingga 12 Oktober nanti.
Kenyataan menjelaskan bahawa pembukaan jambatan itu secara percubaan bertujuan untuk membolehkan kerja–kerja pengubahsuaian sistem rangkaian jalan raya di sekitar Bandar Seri Begawan yang akan melibatkan beberapa persimpangan lampu isyarat di kawasan berkenaan.
Di samping itu, ia juga bagi memastikan kelancaran pergerakan lalu lintas itu nanti, yang mana jumlah lalu lintas dijangka akan meningkat khususnya yang datang dari Mukim Lumapas, Mukim Sungai Kebun dan sekitarnya.
Pengubahsuaian dan pemantauan pihak-pihak berkenaan ke atas keadaan lalu lintas selepas pembukaan secara percubaan jambatan itu nanti akan mengambil masa beberapa hari sehingga keadaan pergerakan lalu lintas stabil.