Oleh Azaraimy HH
BANDAR SERI BEGAWAN 29 Dis – Jambori 4×4 Festival Disember Brunei 2017 bermula hari ini dengan majlis alu-aluan yang diadakan di perkhemahan utama di salah satu hutan tertua di Brunei, Wasai Bedanu, yang boleh diakses menggunakan SUV atau kenderaan pacuan empat roda.
Jambori berkenaan adalah perhimpunan pacuan empat roda selama dua malam yang bermatlamat untuk menghimpunkan para peminat dari Brunei dan rantau ini.
Para peserta berhimpun di tapak perkhemahan di Bedanu di Kampung Mungkom, Mukim Kiudang, di mana kira-kira 120 orang dari pelbagai peringkat usia (dari tujuh tahun hingga 67 tahun) membina kem dan bergaul serta bertukar-tukar cerita dan berkongsi pengalaman berkaitan dengan pemanduan pacuan empat roda.
Para peserta juga dijangka terlibat dalam penjelajahan lasak, di mana pemandu berpengalaman akan membantu memandu arah melalui denai mencabar di Ladan. Acara berkenaan dikendalikan oleh EnTee Event Management.
Majlis alu-aluan berkenaan telah dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali selaku tetamu kehormat.
Turut hadir pada majlis perasmian berkenaan ialah Pengarah Acara bagi Jambori 4×4 Festival Disember Brunei 2017, Dayang Atiqah Norsauzelah binti Haji Abdullah serta pegawai-pegawai kanan dari KSSUP.
Jambori tersebut secara rasmi bermula dengan tetamu kehormat menghidupkan unggun api.
Majlis berkenaan turut menyaksikan tetamu kehormat menyampaikan hadiah penghargaan kepada para peserta.
Pengiktirafan pertama adalah bagi pasukan terbesar yang menyertai jambori berkenaan. Hadiah ini diberikan kepada Team TTK 4×4 dengan mempunyai tujuh buah kenderaan dan 16 orang ahli yang menerima cenderamata berupa CT20 Turbo yang ditempah khas.
Anugerah seterusnya adalah menerima cenderahati bagi peserta paling jauh, diberikan kepada kereta nombor 032 yang dipandu Patrick dari Sabah, Malaysia.
Kemudian, tetamu kehormat menyampaikan hadiah penghargaan dan pengiktirafan kepada peserta veteran sebagai yang paling tua mendaftar dalam jambori 4×4 berkenaan.
Pada usia 67 tahun, Leong Yoke Foon layak menerima pengiktirafan berkenaan.
Tetamu kehormat turut menerima cenderahati penghargaan atas usaha beliau dalam Festival Disember Brunei 2017 yang disampaikan penasihat acara, Awang Mohamad Noh.