Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jaminan sekuriti makanan diambil perhatian

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 November – Bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan makanan yang mencukupi, setiap negara perlu merancang pembangunan sektor pertanian yang mapan dan merangkumi pelbagai dasar dan program bagi meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara sehingga dapat mencapai keperluan sara diri.

    Terdapat tiga komponen utama dalam sekuriti makanan mengikut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-bangsa Bersatu (UNFAO), iaitu kesediaan makanan yang mencukupi dan berkualiti melalui pengeluaran domestik dan import; akses kepada sumber makanan yang mencukupi oleh individu; dan kestabilan iaitu tidak akan menghadapi risiko untuk mengakses makanan walaupun berlakunya krisis ekonomi dan sebagainya.

    Perkara tersebut disentuh oleh Pemangku Jurukira Agung, Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Haji Yusop bin Haji Mahmud semasa membentangkan kertas kerjanya bertajuk ‘Jaminan Sekuriti Makanan dan Keselamatan Pengguna’ pada Seminar Majlis Ilmu 2018 sesi kelima yang bertemakan ‘Jaminan Sekuriti Makanan dan Keselamatan Pengguna’, di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

    Dalam seminar terseubut, Haji Yusop seterusnya menjelaskan bahawa dalam mendukung hasrat kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi memastikan sekuriti makanan terjamin dan mencukupi terutama makanan asasi iaitu beras, Kementerian Kewangan dan Ekonomi melalui Jabatan Perbendaharaan telah diberi mandat bagi mengimport keperluan beras negara dengan menyasarkan pengimportan sebanyak 34,000 tan metrik setahun.

    Menurutnya, kualiti beras yang diimport ke negara ini adalah yang terbaik dan berkualiti tinggi dan pada masa yang sama kerajaan juga telah memberikan subsidi berterusan ke atas harga beras yang dijual di negara ini sejak beberapa tahun yang lalu.

    Haji Yusop ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk ‘Jaminan Sekuriti Makanan dan Keselamatan Pengguna’.

    Sementara itu, tiga lagi kertas kerja turut dibentangkan semasa seminar tersebut. Salah seorang daripadanya ialah Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin Haji Basar dengan tajuknya ‘Keselamatan Makanan: Rumah Dalam Kebun, Kebun Dalam Rumah’.

    Menurut Dr Haji Adanan, kertas kerja beliau bertujuan untuk membahaskan keutamaan pertanian dalam keluarga sebagai salah satu pendekatan bagi menjamin keselamatan makanan melalui konsep rumah dalam kebun, kebun dalam rumah.

    Beliau juga memfokuskan kepada hikmah bertani secara sambilan kepada pembinaan sumber tenaga manusia secara holistik dari dimensi kerohanian, akal, akhlak, jasmani dan ekonomi.

    Selain itu, Dr Haji Adanan juga menumpukan kepada jenis-jenis tanaman utama yang perlu dimiliki untuk keperluan diet setiap keluarga.

    Manakala kertas kerja bertajuk ‘Peranan Makmal Dalam Menjalankan Ujian Saintifik Khususnya Ujian Sisa Racun Kimia Dalam Hasil Pertanian Bagi Mendukung Keselamatan Makanan Kepada Pengguna’ pula telah dibentangkan oleh Jurukimia Pertanian Kanan dan Ketua Bahagian Kimia Makanan, Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan, Hajah Hasinahwati binti Haji Hanafi.

    Menurut Hajah Hasinahwati, ujian sisa racun kimia pertanian dalam hasil pertanian adalah salah satu perkhidmatan dukungan yang dijalankan di makmal di Bahagian Kimia Makanan, di bawah Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan.

    Beliau menekankan bahawa Jabatan Perkhidmatan Saintifik berperanan dalam menyediakan perkhidmatan saintifik dalam menjalankan ujian analitikal, forensik dan kalibrasi bagi mendukung kesihatan awam dan agensi penguatkuasaan undang-undang di Negara Brunei Darussalam.

    Beliau menasihatkan agar para peladang selaku ejen yang menghasilkan sumber pertanian dan pengeluar makanan harus sentiasa mengamalkan ‘Amalan Perladangan Yang Baik’ dalam memastikan keselamatan dalam makanan yang dihasilkan.

    Manakala seorang lagi ahli panel, Pegawai Pemeliharaan Ternakan Kanan, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Dr Diana Dennis, telah membentangkan kertas kerjanya bertajuk ‘Jaminan Sekuriti Makanan dan Keselamatan Makanan (Pengeluaran Sumber Ladang Komoditi Ternakan)’.

    Menurut Dr Dayang Diana, dari segi pengeluaran secara domestik bagi komoditi ternakan ayam pedaging dan penelur (telur ayam) adalah pada tahap sara diri dengan menggunakan teknologi terkini dalam pengeluaran yang intensif.

    Bagi industri ruminan pula perkembangannya mempunyai faktor-faktor yang tertentu yang mengehadkan penternakannya seperti kawasan ladang yang besar.

    Oleh itu, pertumbuhan industri tersebut adalah melalui penggunaan sistem pemeliharaan yang intensif seperti ‘fidlot’ dan ‘trading’ (ternakan digemukkan untuk tempoh beberapa bulan untuk penjualan dan penyembelihan).

    Manakala perusahaan daging kambing telah meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan dengan penggunaan sistem pemeliharaan secara insentif (reban) dan pemberian makanan melalui sistem ‘cut and carry’.

    Beliau juga menjelaskan bahawa bagi perkhidmatan veterinar di bawah Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, keselamatan makanan adalah dari ‘farm-to-distribution’ iaitu ladang sebagai pengeluar komoditi dan pusat penyembelihan adalah perkhidmatan persiapan bagi komoditi ladang untuk dijadikan sumber makanan bagi pengguna.

    Melalui ekosistem tersebut, beberapa piawaian dan garis pandu amalan baik ‘best practices’ diwujudkan dalam memastikan keselamatan komoditi ternakan.

    Kesemua empat kertas kerja telah dimudahcarakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin.

    Seminar yang diadakan selama tiga hari ini berjaya dilaksanakan dengan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai terutamanya pengusaha dan para belia.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda