Oleh Sim Y. H. & Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah bahawa masyarakat di Brunei meneruskan kelangsungan hidup dengan penuh berperlembagaan dan berundang-undang, di mana semua hak adalah terpelihara dan dihormati.
“Bukan seperti tukang jaja retorik yang menjaja atas nama ‘hak asasi manusia’, sedang dalam masa yang sama mereka mendiamkan diri terhadap penindasan dan pembunuhan sewenang-wenangnya.
“Ini bukan Brunei. Budaya Brunei tidak bermain retorik, tetapi semata-mata mengutamakan dan mengagungkan ‘kebenaran’, kerana kebenaran itulah nilai tertinggi lagi suci,” titah Baginda pada Majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, hari ini.
“Orang Brunei biarlah lebih sibuk membangun dari sibuk yang lain-lain. Sibuk membangun adalah amal soleh, mendatangkan pahala, berbanding dengan sibuk perkara sia-sia boleh mengundang kepada dosa,” titah Baginda lagi.
Rakyat juga diseru agar terus menjana ekonomi untuk dinikmati oleh semua dan bukan dibolot oleh sebelah pihak sahaja, sedang dipihak lain hidup menderita.

“Contohnya, beberapa banyak pihak yang mendakwa maju dan kaya, sedang masih ramai rakyat yang hidup sengsara, termasuk mereka yang tidak memiliki tempat tinggal.”
Terdahulu dalam titah Baginda, Baginda menyatakan bahawa negara membangun dengan cara yang betul tanpa melakukan sebarang pelanggaran misalnya dalam menjana sektor pertanian, kita tidak akan mengambil tanah rakyat secara paksa atau menggantinya dengan harga yang tidak munasabah.
“Ini, tidak boleh berlaku di Brunei,” titah Baginda lagi.
Dalam tempoh 20 tahun iaitu dari 1998 hingga 2017, keluaran sektor pertanian dan agrimakanan dan perikanan adalah menggalakkan, titah Baginda, di mana perkembangan positif itu memberi petunjuk bahawa peluang bagi mengembangkan sektor berkenaan adalah terbuka luas.
“Lebih-lebih lagi dengan keadaan geografi negara menerima hujan, cuaca yang mengizinkan dan tanah-tanah yang masih belum diteroka. Tinggal saja lagi ialah usaha dan komitmen kita untuk memajukan sektor ini.”
Dalam hubungan itu, Baginda menzahirkan perasaan gembira mengalu-alukan kehadiran para peserta yang terdiri daripada para petani, peniaga, pengusaha dan termasuk para belia dan pelajar yang terlibat dalam memajukan sektor pertanian di mana mereka itu memikul peranan penting dalam mengembang majukan sektor berkenaan di Negara Brunei Darussalam.
“Beta juga mengalu-alukan konsep mempertemukan para pengeluar dan pengusaha hasil pertanian dengan peniaga (perusahaan dan supermarket). Ini boleh membantu memasarkan hasil pertanian dengan lebih berkesan.”
Cara itu juga, titah Baginda, boleh menambah luaskan pasaran pertanian bukan sahaja pasaran dalam negeri tetapi juga akses ke luar negara.
“Beta mengambil maklum inisiatif seperti Contract Farming dan Business-matching sedang digiatkan bagi mempermudahkan lagi akses pasaran tersebut.”
“Beta sangatlah menghargai kerjasama seperti ini, dan berharap, lebih banyak lagi pasar raya-pasar raya tempatan termasuk pihak pemborong, restoran, perhotelan dan perkhidmatan katering akan melibatkan diri sebagai sokongan kepada kerajaan.”
Di samping terus meningkatkan sektor pertanian, produktiviti, penggunaan teknologi tinggi dan menyediakan ekosistem yang teratur, Baginda Sultan bertitah bahawa satu elemen penting yang mesti diberi perhatian juga ialah sumber tenaga manusia. Ke arah itu, Baginda menyeru para belia untuk tampil sebagai tenaga utama dalam industri pertanian negara.
“Kerajaan Beta telah dan sedang melaksanakan beberapa inisiatif untuk membantu pertumbuhan sektor ini. Contohnya, melalui kementerian berkenaan, Beta telah memperkenankan satu inisiatif yang digelar Projek Rintis, yang merangkumi penawaran tapak secara rintis untuk percubaan.”
Baginda menerangkan bahawa projek itu memberi peluang kepada rakyat, terutama para belia dan penduduk untuk turut bergiat dalam aktiviti perladangan ataupun penternakan.
“Setakat ini, dalam tempoh dua tahun Projek Rintis diperkenalkan, seramai 46 pengusaha telah ditawarkan tapak rintis yang melibatkan hampir 300 hektar tanah pertanian. Seramai 16 pengusaha muda telah tampil merebut peluang yang disediakan ini. Syabas dan tahniah kepada mereka itu.”