Jana kemahiran pemprograman

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Pertandingan Coding Conquest 2019 merupakan satu pertandingan yang direka untuk menggalakkan para peserta menggunakan ilmu pengetahuan, kreativiti dan kemahiran mereka untuk menyelesaikan masalah yang dikemukakan menggunakan program Java.

Pertandingan itu dibahagikan kepada tiga trek iaitu Trek 1, Coding Challenge; Trek 2, Artificial Intelligence dan Trek 3, Social Mobile Analytics Cloud (S.M.A.C) dengan matlamat meningkatkan kesedaran di kalangan para peserta mengenai pentingnya pengekodan serta memberikan motivasi dan meningkatkan lagi pembelajaran ilmu pengetahuan dan kemahiran pemprograman bagi menyokong hasrat untuk menjadi sebuah negara pintar.

Perkara itu dijelaskan oleh Dekan Sekolah Pengkomputeran dan Informatik, Universiti Teknologi Brunei, Dr Muhammad Saiful bin Haji Omar dalam ucapan penutup di Majlis Penyampaian Hadiah Brunei Coding Conquest 2019 yang berlangsung di Dewan Kuliah 2, Kompleks Perpustakaan, Universiti Teknologi Brunei, hari ini.

Di majlis berkenaan, juara bagi Trek 1 ialah Pasukan Pseudocode yang membawa pulang hadiah wang tunai $600 dengan hadiah disampaikan oleh Pengurus Pasukan, Penghantaran dan Sokongan Teknologi, Darussalam Enterprise (DARe), Awang Muhammad Fadhil bin Haji Abdul Kadir.

Bagi Trek 2, juara ialah Pasukan BSoD yang membawa pulang hadiah wang tunai $1,000 dengan hadiah disampaikan oleh Pengarah Urusan Separate Reality, Nick Jennings dan bagi Trek 3, Pasukan Too Legit to Quit memenangi hadiah wang tunai $1,000 yang disampaikan oleh Pemangku Naib Canselor UTB, Dr Hajah Noor Maya binti Haji Mohd Salleh.

Pertandingan Brunei Coding Conquest 2019 dianjurkan oleh UTB dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI).

Pertandingan itu membawa tema, Negara Pintar (Smart Nation) di mana ia diharap dapat mencapai hasrat untuk memacu negara maju ke hadapan ke arah penjanaan ekosistem digital yang lebih baik.

Pertandingan itu bukan sahaja memerlukan para peserta mempunyai kemahiran dalam komputer, pemprograman dan ilmu pengetahuan kecerdasan buatan tetapi ia juga menguji kemahiran teknikal mereka serta membantu untuk membangunkan kemahiran insani para peserta seperti bekerja sebagai satu pasukan dan menyelesaikan masalah yang rumit.

Dr Hajah Noor Maya (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada juara Trek 3, Pasukan Too Legit to Quit.