Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jana masa depan biodiversiti, ekonomi negara

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Pusat Penyelidikan Botani Universiti Brunei Darussalam (UBD BRC) telah memberikan sumbangan yang signifikan dalam penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan flora unik Negara Brunei Darussalam serta membantu dalam usaha ke arah melindungi biodiversiti negara.

    Di samping itu, UBD BRC juga berpotensi untuk menyumbang kepada ekonomi melalui pembangunan ekopelancongan dengan memanfaatkan keunikan dan kekayaan sumber-sumber biodiversiti negara.

    Antara aktiviti ekopelancongan yang boleh diterokai oleh pusat berkenaan untuk dibangunkan ialah memperkenalkan pusat itu sebagai sebuah destinasi pelancong yang berpotensi dapat mengetengahkan pemuliharaan, alam semula jadi, pelancongan regeneratif serta perkongsian ilmu pengetahuan dan pendidikan.

    Melalui konsep berkenaan, pelancong-pelancong boleh terlibat secara langsung dalam meningkatkan alam sekitar, ekonomi tempatan dan memulihara budaya tempatan.

    Perkara itu ditekankan dalam ucapan Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, hari ini.

    Dalam ucapannya pada Sambutan Ulang Tahun UBD BRC ke-6 yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor Universiti Brunei Darussalam, beliau menyatakan keyakinan UBD BRC akan menjadi pemacu dan rakan kongsi berharga kepada kementeriannya serta sektor swasta yang boleh meningkatkan dan memperkaya pakej dan tawaran ekopelancongan kepada pelawat-pelawat antarabangsa dan tempatan serta meningkatkan tarikannya sebagai sebuah destinasi.

    Yang Berhormat Dato dalam ucapannya lagi menyatakan bahawa menerusi usaha itu, ia secara langsung akan menyumbang bukan sahaja kepada usaha kita untuk meningkatkan jumlah pelancong yang melawat negara, tetapi juga bagi mengukuhkan lagi usaha pemuliharaan di Negara Brunei Darussalam.

    Beliau turut menggalakkan kerjasama di antara UBD BRC dengan agensi-agensi pelancongan tempatan dalam mempelbagaikan pakej-pakej pelancongan yang menumpukan kepada ekopelancongan iaitu termasuk aktiviti-aktiviti berasaskan alam semula jadi, pelancongan regeneratif dan perkongsian ilmu pengetahuan atau pendidikan.

    Hajah Tutiaty ketika menyampaikan ucapan pada Sambutan Ulang Tahun UBD BRC ke-6. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda