Pasti ada di antara kita yang terfikir bagaimana peminat fanatik boleh mengetahui keberadaan artis kegemaran mereka termasuk ketika di lapangan terbang.
Malah golongan ini akan melakukan apa sahaja bagi mendapatkan maklumat perjalanan peribadi artis dengan harapan dapat bertemu dan bergambar dengan mereka.
Rupa-rupanya, ‘orang dalam’ sendiri yang menjual maklumat penerbangan selebriti popular seperti BTS namun perbuatan itu akhirnya terdedah.
Wanita yang bekerja dengan sebuah syarikat penerbangan berpangkalan di Hong Kong itu ditahan selepas didapati menjual maklumat tersebut demi mengaut keuntungan sejak setahun lalu.
Pihak berkuasa di Korea Selatan memberitahu suspek berusia 30 tahun itu melakukan perbuatan tersebut selepas mempunyai akses kepada sistem tempahan pelanggan.
Daripada situ, dia akan membuat carian nama selebriti dan tarikh lahir mereka bagi mendapatkan maklumat penerbangan termasuk tempat duduk mereka dalam pesawat.
Suspek kemudiannya akan menjual maklumat ini dengan harga lebih tinggi terutamanya bagi artis popular seperti BTS.
Dalam pada itu, pihak berkuasa memberitahu wanita berkenaan mengaku berkongsi maklumat sulit itu kepada kenalan namun mula menjualnya demi mengaut keuntungan.
Malah wanita itu didakwa sudah menjual 1,000 set data kepada pelanggan dan memperoleh keuntungan melebihi KRW10 juta. – Agensi
