Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jana pendapatan melalui hasil produk

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui usaha sama Jabatan Muzium-Muzium dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah membuka peluang kepada ahli- ahli Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) dan Pusat Bahagia untuk menjana kewangan dengan menjual hasil produk masing-masing, di ruang-ruang legar Muzium Teknologi Melayu, Muzium Maritim Brunei Darussalam dan KKBS.

    Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin telah melancarkan petak jualan pertama di Muzium Teknologi Melayu yang diisi oleh PKWE cawangan Daerah Brunei dan Muara dan seterusnya ke Muzium Maritim Brunei Darussalam, yang menjual produk PKWE cawangan Tutong.

    Pelancaran seterusnya adalah di ruang legar KKBS yang diisi oleh produk tangan daripada warga Pusat Bahagia dari seluruh daerah.

    Turut hadir pada majlis-majlis pelancaran berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di KKBS, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Pemangku Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar), Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut; Timbalan Setiausaha Tetap, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said; Pemangku Pengarah Muzium-Muzium, Awang Amirul Shukri bin Haji Hafneh dan Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohammad Tahir serta ketua-ketua cawangan PKWE dan Pusat Bahagia.

    Antara produk-produk yang dihasilkan oleh PKWE dan Pusat Bahagia terdiri daripada hasil pertukangan tangan iaitu bakul, pasu bunga, beg tangan diperbuat daripada manik dan bakul anyaman dan makanan-makanan kering.

    Menurut kenyataan yang diberikan, pelancaran petak-petak jualan di tempat-tempat strategik berkenaan diharap dapat memberi peluang kepada warga emas dan golongan kelainan upaya terus menyumbang kepada pembangunan negara dengan memberikan hasil yang optimum sekali gus memberi pendapatan melalui social enterprise.

    Muzium Teknologi Melayu dan Muzium Maritim Brunei Darussalam, secara kolektif menerima 66,370 pelawat dari Januari hingga September 2019, dan 70 peratus daripada pengunjung terdiri daripada warga asing.

    petak jualan tersebut. – Gambar oleh KKBS
    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika meninjau beberapa produk buatan tempatan yang dijual di sana.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda