Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jana pendapatan tambahan hasil jualan minyak masak terpakai

    KOTA BHARU – Peniaga makanan bergoreng di sekitar Kota Bharu mampu memperoleh pendapatan tambahan sehingga ratusan ringgit sebulan melalui hasil jualan minyak masak terpakai.

    Peniaga cucur dan roti goreng di Kampung Pintu Geng Sahrizar Salleh, 40, berkata dia mula menjual minyak masak terpakai sejak dua tahun lepas di beberapa pusat pengumpulan dengan pendapatan lebih RM250 sebulan.

    “Hasil jualan minyak masak terpakai yang dibeli pada harga RM2.50 sekilogram ini, saya peruntukan untuk membeli minyak masak baharu bagi digunakan di gerai.

    “Kaedah ini bukan hanya memberi pendapatan tambahan tetapi juga memudahkan saya menguruskan minyak masak terpakai dengan lebih baik sekali gus menjaga kebersihan alam sekitar,” katanya kepada pemberita di Pusat Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di Petronas Pintu Geng di sini hari ini sempena Program Komuniti Madani@Merdeka anjuran Jabatan Penerangan Daerah Kota Bharu.

    Sahrizar berkata terdapat juga pusat pengumpulan minyak masak terpakai menyediakan kemudahan mengambil sisa makanan itu di premis jualan dengan tawaran harga belian yang memuaskan.

    Mohamed Rafik Rahmat turut menuangkan minyak masak terpakai yang dijual peniaga sempena Program Komuniti Madani @ Merdeka anjuran Jabatan Penerangan Daerah Kota Bharu. – Bernama
    Dua pekerja Petronas menuangkan minyak masak terpakai yang dijual peniaga di Pusat Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di Petronas Pintu Geng di Kota Bharu, pada 5 September. – Bernama

    Peniaga kedai makan Izani Mat Udin, 62, berkata dia mula menjual minyak masak terpakai sejak beberapa bulan lepas selepas mendapat tahu sisa makanan itu dibeli dengan harga berpatutan.

    Beliau berkata sebelum ini dia hanya memberikan minyak masak terpakai kepada sesiapa sahaja yang mahukannnya.

    “Kedai kami banyak menggunakan minyak masak untuk menggoreng lauk dan kuih, kadang-kadang lebih 100 kilogram. Sekarang saya mengambil pendekatan menjualnya di beberapa pusat pengumpulan atau di stesen minyak Petronas untuk menampung kos pembelian minyak masak baharu,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Jualan Petronas Wilayah Timur Mohamed Rafik Rahmat berkata setakat ini pihaknya menyediakan dua pusat pengumpulan minyak masak terpakai di Kelantan iaitu di Petronas Jalan Bayam dan Padang Tembak.

    “Memandangkan sambutan makin menggalakkan dan peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat, pihak kami akan meluaskan perkhidmatan itu di beberapa cawangannya dalam masa terdekat.

    “Pengumpulan minyak masak terpakai ini bukan sahaja bagi menguruskan sisa itu dengan baik tetapi juga bagi mengembangkan potensi pemprosesan semula minyak masak terpakai sebagai persediaan mengkomersialkan bio bahan api penerbangan mampan (SAF) untuk memenuhi tuntutan ‘Carbon Offsetting and Reduction Scheme for International Aviation’ (CORSIA),” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda