Monday, May 12, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jana penjimatan tenaga substantif

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Bangunan kerajaan dan komersial mempunyai kadar penggunaan tenaga yang tertinggi di Brunei yang merangkumi sebanyak 49 peratus, di mana tenaga elektrik merupakan sumber tenaga asas dalam bangunan.

    Menurut kajian yang dikendalikan oleh Mitsubishi Research Institute (MRI) pada 2011, peralatan yang menggunakan tenaga terbanyak dalam bangunan adalah sistem penyejuk atau pendingin kerana sebahagian besar daripada sistem pendingin dan penyaman udara disebarkan dalam bangunan serta digunakan bagi tempoh lama iaitu berjam-jam sepanjang tahun.

    Dalam hubungan itu, pelaburan dalam langkah te-naga yang cekap (EE) dalam bangunan boleh menjana penjimatan tenaga yang substantif dan pada masa yang sama menyokong pembangunan ekonomi, pembangunan mampan serta menjana pekerjaan.

    Penggunaan lebih banyak peralatan dan teknologi efisien tenaga serta tenaga yang boleh diperbaharui merupakan kaedah yang kos efektif untuk meningkatkan sekuriti pembekalan tenaga.

    Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga & Kuasa Tenaga), Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra ketika berucap di perasmian Bengkel Latihan Pengurus Tenaga Kebangsaan kali pertama bagi pegawai-pegawai kerajaan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Tingkat 1, Kompleks Bangunan Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

    Beliau berkata lagi, kerana bangunan mempunyai jangka hayat yang panjang, bangunan yang tidak efisien tenaga akan membazirkan jumlah tenaga yang signifikan bagi beberapa dekad.

    Oleh itu, mengurangkan penggunaan tenaga dalam bangunan bagi tujuan untuk memperbaiki sekuriti dan kemapanan tenaga adalah isu yang amat penting serta berguna untuk terus diterajui di Brunei.

    Pengiran Haji Jamra Weira (gambar atas) menambah bahawa Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian dengan kerjasama Kementerian Pembangunan telah melancarkan Garis Panduan Bangunan EEC pada Mei 2015 yang dihasratkan untuk menyediakan keperluan minimum bagi rekaan dan pembinaan bangunan yang efisien tenaga.

    Beliau juga mendedahkan bahawa terdapat perancangan untuk melanjutkan keperluan mandatori garis panduan berkenaan kepada semua bangunan komersial pada 2020.

    Di samping itu, Negara Brunei Darussalam menerusi Kementerian Pembangunan telah melancarkan Sistem Rating Bangunan Hijau yang dikenali sebagi Brunei Accredited Green Unified Seal (BAGUS) pada 2016, di mana Indeks Efisien Tenaga (EEI) yang ditetapkan di bawah BAGUS bagi bangunan-bangunan kerajaan di Brunei ialah 175 kilowatts hours per square metre (kWh/m2) setahun.

    Oleh itu, tekannya adalah amat penting bagi semua kementerian untuk memastikan bahawa EEI bangunan-bangunan mereka adalah selaras dengan EEI yang telah ditetapkan di bawah BAGUS.

    Bengkel latihan selama tiga hari yang bermula hari ini hingga 14 September itu dihasratkan menjadi landasan ataupun platform penting bagi Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian untuk meneruskan keberkesanan perlaksanaan pengurusan tenaga dalam bangunan di negara ini.

    Ia juga merupakan sebahagian daripada pelan strategik lima tahun pihak kementerian melalui Bahagian Tenaga Lestari yang mana termasuk penubuhan Pengurus Tenaga Kebangsaan bagi setiap Kementerian Kerajaan di Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda