Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Sebagai usaha berterusan dalam menjana suasana persekitaran institusi pendidikan yang lebih positif dan selamat untuk pelajar-pelajar, Kementerian Pendidikan telah mengadakan Majlis Kemuncak Program Bantu, Empati, Sayangi, Tanggungjawab (BEST) di Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh selaku Pengerusi Suruhanjaya Kebangsaan Negara Brunei Darussalam bagi Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Acara dimulakan dengan sesi senamrobik beramai-ramai, diikuti sesi penandatanganan kain rentang Program BEST. Acara juga dimeriahkan dengan pertandingan Amazing Race dan pameran yang disertai oleh 17 buah sekolah.
Majlis tersebut dilaksanakan bersempena Hari Antarabangsa Menentang Keganasan dan Buli di Sekolah termasuk Buli Siber, UNESCO.
Program BEST bertujuan meningkatkan kefahaman dan pengetahuan pelajar melalui penyebaran maklumat yang khusus untuk mendidik pelajar mengenal pasti tingkah laku yang dikategorikan sebagai buli dan memberikan kesedaran akan bahaya dan kesan
buli dalam kalangan pelajar.
Selain itu, ia juga diharapkan membantu pelajar untuk sentiasa berdisiplin, hormat-menghormati serta membentuk peribadi dan akhlak yang baik.
Terdahulu pada awal pagi tadi, Kuliah Subuh telah disampaikan oleh Haji Sammali bin Haji Adam bertempat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.
Acara diakhiri dengan penyampaian hadiah bagi pertandingan Amazing Race oleh tetamu kehormat.



