Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Pelajar dan para pencari kerja pada masa ini, sebagai pengguna digital, adalah lebih cenderung untuk memanfaatkan dan mendalami landskap digital yang pesat berubah.
Oleh itu, amat bertepatan bagi Kementerian Pendidikan melancarkan Pelan Transformasi Digital 2023-2027 yang bertujuan untuk membantu memastikan pihak yang berkepentingan daripada pelbagai peringkat dapat meraih faedah daripada transformasi digital dalam pendidikan dan bersedia bagi sebuah dunia di mana ekosistem siber-fizikal berkenaan adalah lebih menyerlah.
Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad ketika berucap merasmikan Pameran Kerjaya UBD 2023 di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.
Di samping itu, pelajar dan pencari kerja pada masa ini juga mempunyai kecenderungan bagi pekerjaan yang bermakna. Sehubungan itu, para majikan mungkin perlu menyesuaikan amalan mereka dan menjana tempat kerja yang menepati aspirasi dan keperluan generasi baharu ini.
Beliau menerangkan bahawa ia adalah termasuk menerima pengaturan pekerjaan yang fleksibel dan menyediakan peluang bagi pembelajaran berterusan serta juga pertumbuhan profesional dan peribadi.

“Program mentor dan sistem sokongan harus ditubuhkan untuk membimbing dan memperkasa bakat-bakat muda ini sambil mereka mengemudi perjalanan profesional mereka,” ujarnya lagi.
Dr Haji Azman seterusnya berkata bahawa dengan kita meneruskan perjalanan ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035, komitmen daripada pihak berkepentingan untuk menyediakan platform, peluang dan sokongan amat diperlukan untuk memastikan penglibatan aktif belia negara dalam membina sebuah tenaga kerja masa depan yang maju dan berdaya tahan.
Dalam hubungan itu, Pameran Kerjaya UBD merupakan sebuah platform di mana pihak berkepentingan yang berlainan dapat berkumpul serta membuka ruang bagi para pelajar dan pencari kerja untuk meneroka dan mengenal pasti kepakaran serta bidang di mana mereka boleh mencapai kecemerlangan dalam kerjaya.
Dr Haji Azman, dalam ucapannya juga menggalakkan pelajar, para graduan dan pencari kerja untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan melalui pameran tersebut.
Mereka harus menumpukan kepada menghalusi lagi kemahiran lembut mereka, mengembangkan portfolio masing-masing dan menubuhkan keberadaan atas talian yang menarik.
Beliau turut menyeru mereka supaya meningkatkan pengetahuan literasi digital, terus peka mengenai trend dalam industri, teknologi baharu serta kemahiran yang diperlukan.
Mereka juga harus mempunyai minda pembelajaran sepanjang hayat serta terus aktif mengejar pertumbuhan profesional dan peribadi.

