Janet Yellen Setiausaha Perbendaharaan AS

WASHINGTON, 26 JAN – Senat Amerika Syarikat (AS) kelmarin mengesahkan Janet Yellen sebagai wanita pertama dalam sejarah negara dilantik menjadi Setiausaha Perbendaharaan dan anggota kabinet terbaru yang mendapat lampu hijau, lapor agensi Anadolu.

Yellen yang mendapat sokongan majoriti 84-15 itu berikrar untuk menumpukan kepada usaha menghidupkan semula ekonomi Amerika yang dilanda pandemik.

“Fokus sekarang adalah menyediakan bantuan dan menolong keluarga mengekalkan kediaman dan makanan di atas meja mereka dan tidak menaikkan cukai,” kata Yellen minggu lalu semasa sidang Senat.

“Saya fikir kita harus melalui detik gelap ini sebelum program vaksinasi membolehkan kita kembali jalani kehidupan seperti sebelum ini,” tambahnya.

Sebelum ini, Senat telah meluluskan Avril Haines sebagai Pengarah Perisikan Negara dan Lloyd Austin sebagai Setiausaha Pertahanan.

Yellen, 74, juga wanita pertama mempengerusikan Rizab Persekutuan dan Majlis Penasihat Ekonomi Rumah Putih. – Bernama

Gambar fail pada 1 Disember 2020 menunjukkan Janet Yellen semasa menghadiri acara di Queen Theater, Wilmington. – AFP