Wednesday, April 2, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan abaikan golongan kurang bernasib baik

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Kemenangan yang kita raih pada hari ini, bukanlah untuk satu golongan yang bernasib baik sahaja, tetapi kita juga dituntut untuk lebih prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik.

    Oleh itu, kita tidak boleh menutup mata terhadap saudara-saudara seagama kita di seluruh dunia yang sedang bergelut dengan konflik dan penindasan. Sekurang-kurangnya, kalau pun bukan dengan bantuan harta benda, tetapi dengan bantuan doa pun adalah tetap menjadi kewajipan

    Perkara tersebut ditekankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan mengurniakan titah sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi, hari ini.

    Terdahulu, Baginda bertitah Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kemenangan bagi seluruh umat Islam setelah berjaya melakukan puasa Ramadan sebulan penuh. Negara Brunei Darussalam dalam perkara mengetengahkan keunikannya, terus mengekalkan perpaduan di antara penduduknya. Malah dengan perpaduan itu menjadi pemangkin kepada ketamadunan bangsa.

    “Oleh itu, bulan Syawal menjadi peluang terbaik untuk kita mengeratkan lagi perpaduan yang sedia ada melalui hubungan silaturahim semua kita. Sesungguhnya, pengukuhan silaturahim merupakan tunjang utama kepada pembangunan sesebuah negara. Ia juga merupakan paksi kepada pembentukan jati diri bangsa,” titah Baginda.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, semasa berkenan mengurniakan titah sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi, semalam. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Baginda turut bertitah dengan menekankan dalam kemeriahan Aidilfitri ini, kita sewajarnya mengelakkan pembaziran dan sebaliknya banyak bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan.

    “Inilah antara hikmah Ramadan dan Syawal untuk mengajar kita bagaimana menerapkan keprihatinan dan kesyukuran,” titah Baginda.

    Maka atas asas ini juga, titah Baginda, hukum zakat fitrah dan zakat harta mengajarkan bagaimana berkongsi rezeki di antara sesama kita dengan tidak mengabaikan golongan asnaf yang berhak menerima zakat.

    “Amalan mulia berkongsi rezeki melalui penunaian zakat, merupakan syiar dan tanda kita bersyukur kepada Allah SWT atas nikmatNya yang tidak putus-putus kepada kita,” titah Baginda.

    Baginda seterusnya bertitah dengan menyeru seluruh warga Islam di negara ini untuk terus tekun melaksanakan amalan ibadat pada bulan-bulan seterusnya sebagai kesinambungan bulan Ramadan.

    Titah Baginda, termasuk juga ibadat ialah pekerjaan dan tugasan kita seharian. Ini juga jangan diabaikan.

    Kerana mengabaikannya bererti mengabaikan ibadat. Sesungguhnya, melaksanakan tugasan dan pekerjaan yang diamanahkan, juga mampu untuk membuka pintu rahmat mengundang rezeki yang halal dan berkat untuk kita dan negara.

    “Akhirnya, Beta dan seluruh ahli kerabat Beta sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Al-Mubarak kepada semua lapisan rakyat dan penduduk di mana sahaja mereka berada, semoga kita sama-sama berada dalam keadaan sejahtera, sihat walafiat dan selamat di bawah naungan dan pemeliharaan Allah SWT, Amin,” titah Baginda.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda