Sunday, July 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan abaikan keselamatan anak dalam kereta

    Golongan ibu bapa pastinya sedia maklum bahawa memandu dengan anak damit kadangkala boleh mendatangkan stres yang akan mengakibatkan tumpuan terganggu.

    Memandu bersama anak damit di dalam kereta sememangnya agak mencabar terutamanya buat mereka yang pertama kali menjadi ibu bapa. Perasaan bimbang dan gelisah pastinya wujud, sehingga membuatkan si ibu atau ayah kurang berasa tenang sepanjang perjalanan.

    Jangan risau, jom kurangkan kerisauan awda itu! Ikut sahaja tip dari blog BJAK ini untuk membantu awda memastikan anak damit awda lebih selamat apabila bersama awda di dalam kereta.

    GUNAKAN KERUSI KERETA KANAK-KANAK YANG BETUL

    Pastikan awda memilih kerusi kereta kanak-kanak untuk anak awda dengan penilaian keselamatan yang terbaik.

    Sila ambil perhatian bahawa tidak semua kerusi keselamatan kanak-kanak bersesuaian dengan semua jenis kereta. Oleh itu, cuba dulu pasang kerusi keselamatan tersebut atau melihat ciri serta spesifikasinya sebelum membuat pembelian. Kerusi keselamatan kanak-kanak dengan saiz yang betul boleh mengurangkan risiko terhadap anak awda apabila berada di atas jalan raya.

    Tidak semua kerusi keselamatan kanak-kanak bersesuaian dengan semua jenis kereta. – Freepik
    Untuk perlindungan tambahan, dapatkan kerusi yang dilengkapi dengan cagak pemasangan ISOFIX. – Freepik
    Beg udara juga boleh membahayakan kanak-kanak jika kerusinya dihadapkan ke belah hadapan. – Freepik
    Tidak boleh pasang kerusi kereta kanak-kanak pada kerusi penumpang depan. – Freepik
    Pakaikan tali pinggang keledar pada anak kecil awda semasa mereka berada di dalam kerusi mereka. – Freepik

    Anak damit yang baru dilahirkan hingga berumur tiga tahun mungkin memerlukan tempat duduk yang menghadap ke belakang.

    Sementara itu, kanak-kanak yang berumur di antara dua hingga tujuh tahun, mereka sesuai untuk duduk dengan kerusi yang menghadap ke hadapan.

    Apabila anak awda dilihat sudah melebihi had tempat duduk yang menghadap ke hadapan, mereka harus menggunakan booster seat sehingga mereka boleh dimuatkan dengan tali pinggang keledar.

    Menurut blog Says.com, jika perjalanan awda perlu memandu beberapa jam, pastikan kerusi kereta kanak-kanak untuk anak damit selesa.

    Perkara ini juga memastikan keselamatan anak damit itu berbanding menggendong mereka di depan tempat duduk penumpang.

    LETAKKAN KERUSI KERETA KANAK-KANAK DI TEMPAT DUDUK BELAKANG

    Sila pasang kerusi keselamatan anak awda di bahagian tempat duduk belah belakang kerana lebih selamat dan jauh daripada beg udara yang aktif.

    Tidak boleh pasang kerusi kereta kanak-kanak pada kerusi penumpang depan. Jika kerusi untuk kanak-kanak diletakkan di tempat duduk hadapan dan beg udara mengembung, ia boleh terkena bahagian belakang kerusi anak awda yang sedang menghadap ke belakang – betul-betul di mana kepala kanak-kanak itu berada dan seterusnya boleh menyebabkan kecederaan serius atau maut pada anak.

    Selain itu, beg udara juga boleh membahayakan kanak-kanak jika kerusinya dihadapkan ke belah hadapan.

    PAKAIKAN TALI PINGGANG KELEDAR PADA ANAK AWDA

    Sila periksa dan pakaikan tali pinggang keledar pada anak kecil awda semasa mereka berada di dalam kerusi mereka.

    Ini bagi memastikan anak kecil awda lebih dilindungi dan berada dalam keadaan selamat jika berlaku apa-apa ketika awda sedang memandu.

    Tempat duduk kanak-kanak biasanya diikat menggunakan tali pinggang keledar. Tetapi untuk perlindungan tambahan, dapatkan kerusi yang dilengkapi dengan cagak pemasangan ISOFIX.

    PASANG CERMIN TEMPAT DUDUK BELAKANG

    Tidak seperti cermin pandang belakang, cermin tempat duduk belakang akan membolehkan ibu bapa melihat anak damit yang duduk di tempat duduk yang menghadap ke belakang.

    Kadangkala, mendengar tangisan anak damit ketika sedang memandu boleh membuatkan awda mula rasa bimbang dan gelisah. Jadi, pasang cermin di tempat duduk belakang supaya awda boleh melihat anak awda menerusi cermin itu tanpa perlu menoleh untuk memeriksa anak awda.

    AKTIFKAN CHILD LOCK

    Child lock atau kunci kanak-kanak bertujuan untuk menghalang kanak-kanak daripada membuka pintu belakang dari dalam.

    Kunci itu biasanya terletak di pintu belakang. Ia hanya boleh dibuka apabila seseorang membuka pintu dari luar sebaik sahaja awda mengaktifkan kunci tersebut.

    PATUHI PERATURAN LALU LINTAS

    Pastikan awda memandu pada had kelajuan yang betul dan ikut segala peraturan lalu lintas yang telah ditetapkan. Ingat, selain keselamatan awda sendiri, awda juga perlu memikirkan keselamatan anak awda di belakang.

    Selain itu, elakkan semua gangguan yang tidak perlu. Tetapkan telefon bimbit awda dalam mode senyap sebelum masuk ke dalam kereta, elakkan makan dan minum semasa memandu dan hanya fokus pada perjalanan sahaja.

    Pastikan awda mempersiapkan anak damit awda dengan tahap keselamatan yang terbaik semasa memandu.

    Ikuti tip keselamatan yang diberikan di atas untuk memastikan anak awda berada dalam persekitaran yang paling selamat, sepanjang masa ketika berada di atas jalan raya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda