Sunday, October 6, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan abaikan masalah kesihatan mental

    Saya ingin berkongsi kisah perjalanan peribadi saya dalam mengharungi cabaran yang jarang dibincangkan secara terbuka, iaitu masalah kesihatan mental. Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya bahawa saya akan berdepan dengan sesuatu yang sebegini sukar dan menggugat kehidupan harian.

    Namun, itulah realitinya dan saya ingin berkongsi pengalaman ini dengan harapan dapat memberi semangat kepada mereka yang mungkin sedang bergelut secara senyap.

    Segalanya bermula dengan gejala yang pada awalnya nampak remeh – perasaan lesu yang tidak kunjung hilang, hilang minat terhadap aktiviti harian dan fikiran yang sering dibelenggu rasa cemas yang tidak bersebab. Pada mulanya, saya menganggap ia hanyalah sebahagian daripada tekanan hidup dan kerja yang semakin meningkat, tetapi lama-kelamaan saya sedar bahawa ini bukan sekadar tekanan biasa.

    Hari demi hari, saya merasakan dunia semakin menyempit. Saya mula menghindari pergaulan sosial, menarik diri daripada orang-orang yang saya sayangi, malah ada kalanya, saya tidak mampu bangkit dari katil. Fikiran negatif berlegar-legar dalam kepala saya tanpa henti, dan ada masanya saya merasakan tidak ada jalan keluar dari kegelapan ini.

    Namun, berkat dorongan daripada keluarga dan rakan-rakan, saya mula menemui sinar harapan. Melalui terapi dan sokongan yang tidak putus-putus, saya belajar bahawa saya tidak sendirian dalam perjuangan ini.

    Gambar Freepik

    Proses pemulihan tidak datang dalam sekelip mata. Ia memerlukan kesabaran, kekuatan dan ketekunan. Yang paling penting, saya mula menyedari bahawa kesihatan mental adalah aspek penting yang perlu diberi perhatian dan dijaga sama seperti kesihatan fizikal.

    Kepada mereka di luar sana yang mungkin sedang mengalami perkara yang sama, saya ingin katakan – awda tidak bersendirian. Kesihatan mental adalah perkara yang harus dibicarakan dengan lebih terbuka, tanpa rasa malu.

    Saya amat menghargai pandangan dan pendapat daripada sesiapa sahaja yang pernah mengalami situasi serupa. Bagaimana awda mengatasi cabaran ini? Apa yang membantu awda bangkit semula? Saya percaya dengan berkongsi kisah-kisah ini, kita dapat membina komuniti yang lebih prihatin dan menyokong antara satu sama lain.

    Izwan

    NASIHAT DANG MP

    Terima kasih Izwan kerana berkongsi pengalaman awda. Isu kesihatan mental adalah sesuatu yang sering diabaikan dan mula diberi perhatian di peringkat negara dan juga global sejak kebelakangan ini.

    Dalam menghadapi cabaran ini, satu langkah yang boleh membantu adalah dengan mencari sokongan profesional, seperti kaunselor atau pakar psikologi. Mereka mempunyai kepakaran untuk membantu awda mengatasi perasaan yang sukar ini dan menawarkan strategi untuk menanganinya.

    Setelah isu ini mendapat perhatian, sudah pasti perkhidmatan-perkhidmatan untuk mengatasinya mula disediakan dan mudah didapati.

    Selain itu, menjaga hubungan dengan keluarga dan rakan-rakan seperti yang awda lakukan adalah sangat penting.

    Luangkan masa untuk bercakap tentang perasaan awda dan jangan ragu-ragu untuk berkongsi tentang apa yang awda lalui.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda