Oleh Sim Y.H. –
Masalah pendengaran sering kali diabaikan sehingga menjejaskan kehidupan seharian individu yang mengalaminya.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 500 juta orang dianggarkan mengalami kehilangan pendengaran yang memerlukan pemulihan menjelang tahun 2030.
Di Negara Brunei Darussalam, seramai 1,263 pesakit didiagnosis mengalami kehilangan pendengaran pada tahun 2024 dan daripada jumlah tersebut, seramai 468 orang telah dikenal pasti untuk menerima rawatan dengan alat bantu pendengaran.
Menurut Unit Audiologi, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, terdapat peningkatan ketara dalam jumlah pesakit yang baru didiagnosis dengan masalah kehilangan pendengaran berbanding tahun sebelumnya.
Pada tahun 2023, seramai 624 orang berumur 12 tahun ke atas mengalami masalah pendengaran di kedua-dua telinga dan jumlah itu meningkat kepada 817 orang sepanjang tahun 2024.
Statistik ini didedahkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan sempena Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2025.
Beliau juga menyatakan bahawa Program Saringan Pendengaran Anak Damit di Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait, menunjukkan peningkatan dalam bilangan anak damit baru lahir yang didapati mengalami masalah pendengaran, daripada tiga kes pada tahun 2023 kepada sepuluh kes pada tahun 2024.
Oleh itu, penjagaan awal dan pengesanan segera amat penting bagi memastikan pemulihan yang lebih cepat serta mengurangkan risiko komplikasi lebih lanjut, seperti kehilangan pendengaran kekal akibat kurangnya perhatian terhadap penjagaan telinga.
HARI PENDENGARAN SEDUNIA 2025
Hari Pendengaran Sedunia disambut setiap tahun pada 3 Mac bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penjagaan telinga dan pendengaran. Tema bagi sambutan tahun 2025 ialah Mengubah Minda: Memperkasakan Diri Anda untuk Menjadikan Penjagaan Telinga dan Pendengaran sebagai Realiti Semua!
Tema ini menggalakkan individu untuk mengambil langkah proaktif dalam menjaga kesihatan telinga dan pendengaran mereka, memberikan maklumat yang tepat dan berdasarkan bukti untuk mengubah persepsi masyarakat mengenai masalah telinga dan pendengaran, menangani kesalahfahaman dan stigma yang berkaitan dengan gangguan pendengaran, memastikan akses yang adil kepada penjagaan telinga dan pendengaran.
Ia juga menumpukan kepada memperkasakan diri yang bermaksud memberi kuasa kepada individu untuk bertindak proaktif terhadap penjagaan pendengaran masing-masing.
“Ini termasuk membuat pilihan bijak seperti mengurangkan pendedahan kepada bunyi bising yang berlebihan, memakai alat pelindung telinga apabila perlu, dan mengambil masa untuk memeriksa pendengaran secara berkala.
“Dalam masa yang sama, menghapuskan stigma di kalangan penduduk dan rakyat berkaitan dengan masalah pendengaran adalah sangat penting agar masyarakat lebih terbuka untuk menerima dan memberikan sokongan kepada individu yang menghadapi cabaran pendengaran dengan cara yang menggalakkan inklusiviti dan saling memahami.”
Yang Berhormat Dato dalam perutusannya lagi, menyatakan bersempena Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2025, WHO menekankan mesej utama iaitu lebih daripada satu billion orang muda berisiko kehilangan pendengaran kekal akibat pendedahan berpanjangan kepada bunyi yang kuat semasa aktiviti seperti mendengar muzik dan bermain pemainan video.
“Cara kita mendengar di masa depan bergantung pada bagaimana kita menjaga telinga kita hari ini, kerana banyak kes kehilangan pendengaran boleh dicegah dengan mengamalkan pendengaran yang selamat dan penjagaan pendengaran yang betul.”
Hari Pendengaran Sedunia, tekan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham merupakan satu panggilan untuk kita semua bertindak dalam sama-sama, memperkasakan diri untuk menjadikan penjagaan telinga dan pendengaran sebagai realiti untuk semua.