Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan abaikan tunai zakat harta

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Harta merupakan kurnia Allah kepada hambanya yang menjadi keperluan setiap orang, kerana harta boleh membawa kebahagiaan, tapi jika salah penggunaan harta boleh membawa kebinasaan.

    Ini kerana adalah menjadi tanggungjawab setiap pemilik harta untuk mentadbir dan menguruskan dengan betul dan bijaksana menurut ajaran Islam iaitu memperolehi dengan cara yang halal dan membelanjakan pada perkara yang baik dan berfaedah.

    Selain memberi nafkah kepada orang yang di bawah tanggungjawab, serta menyalurkan ke arah perkara yang berkebajikan seperti bersedekah, berwakaf dan lebih-lebih lagi mengeluarkan zakat.

    Khatib menegaskan perkara ini semasa menyampaikan khutbah Jumaat hari ini, bertajuk ‘Mengabaikan kewajipan zakat harta, mengundang azab dan kerugian’.

    “Setiap hamba  Allah wajib menunaikan tanggungjawab tersebut, dan agama Islam telah memperuntukkan cara pengurusan harta melalui dalil-dalil atau nas yang di wahyukan Allah kepada Baginda Rasulullah SAW,” jelasnya.

    Sering kali orang terlepas pandang akan kewajipan zakat harta berbanding zakat fitrah, tegasnya, malah ada yang beranggapan zakat yang wajib ialah zakat fitrah sahaja dan merasakan mereka telah menunaikan kewajipan zakat dengan mengeluarkan zakat fitrah pada setiap kali menjelang Aidilfitri.

    “Masih ada yang kurang faham atau tidak tahu tentang zakat harta, hukum hakam rezeki, tidak tahu kadar nisab dan cara pengiraan zakat serta tidak tahu di mana tempat untuk mengeluarkan zakat”.

    Khatib turut mengongsikan, tempat-tempat untuk menunaikan zakat harta iaitu di kaunter kutipan zakat, Jabatan Urusan Zakat wakaf dan baitulmal (JUZWAB) di bangunan Kementerian Hal Ehwal Agama.

    Manakala di daerah lain seperti cawangan kaunter JUZWAB di Pejabat Hal Ehwal Ugama daerah Tutong, Belait dan Temburong,  dan amil-amil, institusi kewangan dan perbankan serta penyedia perkhidmatan yang telah dilantik menjadi amil di seluruh negara Hal Ehwal Ugama daerah Tutong, Belait dan Temburong, amil-amil, institusi kewangan dan perbankan serta penyedia perkhidmatan yang telah dilantik menjadi amil di seluruh negara.

    Memandangkan zakat merupakan salah satu dari rukun Islam, jelas Khatib lagi, masalah ini adalah wajib untuk diketahui, umpamanya bagaimana cara mengeluarkan zakat perniagaan, zakat harta dan lainnya yang wajib dizakatkan.

    Sesungguhnya hukum mengeluarkan zakat adalah wajib atas setiap orang Islam yang memenuhi syarat, orang yang tidak mengeluarkan zakat adalah fasik dan berdosa besar melainkan orang yang ingkar kerana ketetapan hukum wajib zakat pula dikira kufur.

    Khatib dalam khutbah Jumaat turut mengongsikan antara hikmah pensyariatan zakat ialah wadah atau cara untuk menyatakan syukur atas nikmat yang dikurniakan Allah, berfungsi sebagai pembersih diri dan harta.

    Selain itu, hikmah zakat juga membersihkan jiwa, menyucikan hati dari rasa dengki sesama anggota masyarakat, mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama Islam dan menambah rasa kasih sayang dan keakraban di antara setiap golongan masyarakat.

    Di samping itu, mengeluarkan zakat dapat menghapuskan rasa benci golongan miskin terhadap golongan kaya, kerana dengan bantuan zakat, mereka dapat merasakan adanya pertolongan, rasa tanggungjawab dan perikemanusiaan serta merasa adanya perkongsian dalam hak pemilikan harta.

    Dengan mengeluarkan zakat, jelas Khatib mampu mendidik dan membiasakan diri seseorang menjadi dermawan, pemurah dan suka membantu, dalam masa yang sama juga dapat menolak dan mengikis sifat kikir dan bakhil, kerana Allah memberkati harta pemberi zakat dan menambahnya.

    Masalah disebabkan tekanan diri kesempitan hidup yang biasanya berlaku dikalangan fakir miskin, orang yang dibebani hutang atau seumpamanya boleh diatasi dengan kelapangan dan kesenangan yang terhasil dari bantuan zakat yang diterima, selain zakat juga dapat membantu menjadi ekonomi yang stabil dan teratur.

    “Orang yang menunaikan zakat dijanjikan ganjaran besar daripada Allah, antaranya memperoleh ganjaran pahala yang berganda, “jelasnya.

    Dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW banyak memberi ancaman dan amaran sebagai peringatan dan pengajaran, malah banyak cerita atau kisah mengenai orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat untuk menjadi iktibar.

    Adapun antara azab atau seksa yang bakal diterima mereka yang ingkar dan enggan mengeluarkan zakat ialah dikalungi atau dilingkari lehernya oleh ular dari api, sebagaimana hadis Rasulullah SAW.

    Harta benda dan kekayaan yang kita miliki bukan hak milik kita yang mutlak tetapi amanah Allah, di mana manusia dibenarkan memperolehi dan menikmati rezeki kekayaan tersebut dengan mengikut lunas syarak dan apabila telah cukup syarat hendaklah dikeluarkan zakat.

    “ Harta yang telah cukup syarat akan tetapi tidak dikeluarkan zakat, pemilik harta tersebut akan mendapat seksa yang amat pedih di akhirat nanti.

    Khatib dalam khutbahnya menyeru untuk sama-sama menanamkan keinsafan dan kesedaran dalam diri dan takut akan seksa Allah yang sangat pedih di akhirat kelak.

    GAMBAR FAIL.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda