Minggu lalu, saya berkesempatan berkunjung ke Kampong Ayer, khususnya di kawasan Sungai Bunga.
Seperti biasa, pemandangan rumah-rumah atas air yang tersusun indah memang memikat hati.
Namun, di sebalik keindahan itu, saya tidak dapat menahan rasa kecewa melihat keadaan sungai yang semakin tercemar dengan sampah.
Sepanjang perjalanan menaiki bot, jelas kelihatan sisa-sisa plastik, bungkusan makanan dan sisa dapur terapung di permukaan air.
Ada juga sampah yang tersangkut di tiang-tiang rumah. Pemandangan itu bukan sahaja mengganggu keindahan alam, tetapi menimbulkan bau yang kurang menyenangkan, terutama apabila air surut.

Lebih mengecewakan, kemudahan tong-tong sampah sebenarnya sudah disediakan di beberapa lokasi, tetapi masih ada segelintir penduduk yang mengambil jalan mudah dengan terus membuang sisa ke dalam sungai.
Sikap ini, jika dibiarkan berlarutan, bukan sahaja mencemarkan imej Kampong Ayer yang menjadi ikon negara, malah boleh membawa pelbagai masalah kesihatan dan menjejaskan ekosistem laut.
Sebagai masyarakat yang hidup dekat dengan sungai, sepatutnya mereka lebih peka dan tidak ‘camah mata’ dalam menjaga kebersihan persekitaran perairan negara.
Saya berharap agar lebih banyak kempen kesedaran dapat dijalankan, selain penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas, agar amalan membuang sampah ke sungai dapat dihentikan.
Kampong Ayer adalah warisan berharga negara kita, marilah kita sama-sama memeliharanya untuk generasi akan datang.
Amirul






