Jangan ambil ringan arahan OPS Pulih

Saban hari, Yang Berhormat Menteri Kesihatan tidak jemu-jemu mengingatkan rakyat jelata di Negara Brunei Darussalam untuk teranah di rumah dalam sidang media bagi situasi terkini jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Namun, sejauh manakah seruan ini diambil berat oleh setiap individu yang bermastautin di negara ini? Adakah seruan demi seruan ini semata-mata masuk telinga kanan, keluar telinga kiri?

Seperti yang kita ketahui, sejak negara kita dilanda gelombang kedua penularan COVID-19 pada Ogos 2021, pihak Kementerian Kesihatan bersama kementerian-kementerian yang lain telah melaksanakan langkah berjaga-jaga dan kawalan untuk memutuskan rangkaian penularan wabak tersebut.

Namun, usaha yang dijalankan tidak akan menampakkan kejayaan tanpa kerjasama yang diberikan oleh masyarakat kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Buktinya, jumlah individu yang dikenakan denda kompaun akibat mengingkari arahan untuk berada di rumah selepas pukul 8 malam hingga pukul 4 pagi masih belum menunjukkan tanda noktahnya. Yang mengejutkan kita ialah, sesetengah individu tergamak melakukan kesalahan yang sama biarpun telah didenda.

Salah satu sebab yang mengakibatkan situasi ini berlaku ialah kejahilan sesetengah individu tentang bahaya penyakit COVID-19. Sesetengah orang menganggap bahawa diri mereka kebal dan tidak akan kejangkitan wabak ini setelah melengkapkan dua dos vaksin.

Mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa walaupun sudah divaksinasi, seseorang masih terdedah kepada risiko kejangkitan virus yang menakutkan ini.

Kealpaan inilah yang menyebabkan usaha kerajaan untuk meratakan keluk COVID-19 terhalang. Akibatnya, berita tentang kanak-kanak dan orang tua yang kejangkitan virus ini daripada ahli-ahli keluarga mereka sendiri sering kedengaran.

Sebelum kudis menjadi tokak, langkah-langkah yang tegas harus diambil. Tampaknya, denda kompaun langsung tidak digeruni oleh individu yang tidak serik untuk melanggar arahan sepanjang Operasi Pulih dilaksanakan. Sehubungan itu, individu tersebut tidak harus dibiarkan berkeliaran. Mereka tergamak melakukannya kerana pergerakan mereka tidak disekat.

Langkah pihak berkuasa memaparkan gambar berserta nama mereka dalam sidang media langsung tidak diendahkan oleh mereka. Dengan itu, pesalah-pesalah tegar ini patut diberikan khidmat kaunseling untuk mengupas persoalan pokok bagi mencari jawapan di sebalik perlakuan mereka.

Kepada setiap lapisan masyarakat di negara ini, baik tua mahupun yang muda, sahutlah seruan pihak yang berkuasa, teranahlah di rumah seketika lagi.

Anak-anak kita rindu akan sesi persekolahan secara bersemuka, orang tua yang tinggal berasingan dengan anak-anak rindu akan tawa mesra bersama anak cucu dan orang dewasa pula serik untuk menjalani kehidupan harian tanpa aktiviti sosial.

Sekiranya semua bersatu, tempoh mencapai endemik akan dicepatkan.

Warni W.