Jangan bayar mahupun beri maklumat peribadi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 DIS – Telekom Brunei Berhad (TelBru) telah menerima makluman daripada orang awam yang mengatakan mereka telah menerima mesej-mesej mudah alih yang meminta butiran peribadi seperti nama, nombor akaun bank, tarikh lahir dan alamat.

Sehubungan dengan itu, TelBru dalam kenyataannya hari ini menyatakan perkara tersebut merupakan salah satu sindiket penipuan yang bertujuan untuk mendapatkan maklumat peribadi daripada pengguna Internet.

Penipuan itu yang termasuk penggunaan logo TelBru tanpa kebenaran, mengarahkan para pengguna untuk mengisi satu kaji selidik dan sebaik selesai, mengarahkan pengguna untuk membayar sejumlah wang bagi penghantaran ‘hadiah’ mereka.

Dari itu, TelBru menekankan yang syarikat itu tidak akan meminta bayaran bagi sebarang perkara tersebut kecuali yang berkaitan dengan perkhidmatan syarikat seperti pembayaran bil menerusi saluran rasmi syarikat yang dilindungi dan dijamin seperti laman web serta aplikasi mudah alih TelBru.

TelBru juga menasihatkan mana-mana individu yang menerima laman seumpamanya untuk tidak berkongsi apa-apa maklumat peribadi termasuk nama, nombor kad pengenalan, alamat rumah dan butiran perbankan.

Syarikat tersebut juga menggesa mana-mana individu yang berdepan dengan penipuan seperti ini dan yang menawarkan persoalan lain, disarankan agar tidak mempedulikannya dan memaklumkan hal tersebut kepada syarikat melalui talian pelanggan atau platform media sosial TelBru.