Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan berputus asa dengan ujian Allah SWT

    Oleh Yusrin Junaidi 

    Sepanjang tempoh penularan wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia dan tidak terkecuali negara kita, gaya hidup berubah 360 darjah dalam sekelip mata.

    Setentunya banyak cabaran yang dihadapi pada waktu ini, ada yang diuji dari segi kewangan kerana hilang mata pencarian dan sesetengahnya juga menerima ujian dalam bentuk penyakit apabila disahkan positif virus berkenaan.

    Namun sebagai seorang Mukmin yang beriman, walau apa juga ujian yang melanda, perlu sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT, memperbanyakkan doa, berikhtiar, bertawakal dan bersabar.

    “Jangan lupa bahawa kita ini adalah umat Islam yang beriman, kita diajarkan untuk menerima apa jua bencana dan musibah sebagai ujian dan cubaan daripada Allah SWT yang mana cubaan dan ujian ini adalah untuk melihat sejauh mana ikhtiar dan usaha kita mengatasinya.

    “Ini bertepatan dengan Ayat 2 dari Surah Al-Ankabut yang mafhumnya ‘Adakah manusia itu menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan (hanya) berkata: Kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji’,” sebagaimana yang diketengahkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, pada 30 Mac 2020 semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menjelaskan bahawa sebagai umat Islam yang beriman, perlu menerima apa jua bencana dan musibah sebagai ujian dan cubaan daripada Allah SWT untuk melihat sejauh mana ikhtiar dan usaha kita mengatasinya. – Gambar fail
    Sebagai seorang Mukmin yang beriman, walau apa juga ujian yang melanda, perlu sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT, memperbanyakkan doa, berikhtiar, bertawakal dan bersabar.

    Di dalam Terapi Kejiwaan yang dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama bertajuk Jangan Mudah Berputus Asa ada menyentuh beberapa perkara. Dalam Terapi Kejiwaan berkenaan, menjelaskan putus asa merupakan emosi atau perasaan yang ditandai dengan kurangnya harapan, optimisme dan ghairah.

    Dalam menjalani kehidupan seharian yang penuh dengan dugaan, cabaran dan rintangan, terkadang seseorang pasti ada saja mengalami masalah yang datang, bahkan masalah yang muncul itu terasa begitu berat dan sulit me nemukan jalan keluarnya, hingga menyebabkan berputus asa.

    Kita sebagai orang yang beriman adalah diperlukan untuk memperba- nyakkan syukur, merasa berterima kasih, bersangka baik dan tidak mudah berputus asa dengan rahmat Allah SWT terutamanya apabila kita menghadapi masalah, berdepan dengan situasi yang sukar atau berada dalam keadaan yang kurang menyenangkan.

    Seperti mana firman Allah SWT dalam Surah At-Hijr ayat 55 dan 56 yang tafsirnya:

    “Mereka (malaikat-malaikat) berkata “Kami menyampaikan khabar yang menggembirakan ini kepadamu dengan cara yang benar. Oleh itu janganlah engkau termasuk golongan orang yang berputus asa.

    “Nabi Ibrahim berkata “Tidak ada yang berputus asa daripada rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat.”

    Dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Anas bin Malik iaitu dalam hadis Qudsi Rasulullah SAW bersabda (Hadis riwayat Tirmidzi):

    “Allah berfirman: Wahai anak Adam selama engkau masih berdoa kepadaKu dan berharap kepadaKu, Aku ampuni engkau apa pun yang datang darimu dan Aku tidak peduli.

    “Wahai anak Adam walaupun dosa-dosa mencapai batas langit kemudian engkau meminta ampun dan Aku tidak peduli.

    “Wahai anak Adam, jika engkau mendatangiKu dengan sepenuh bumi dosa dan engkau tidak menyekutukan-Ku, maka Aku akan menemuimu dengan sepenuh itu pula ampunan.”

    Mari kita renungkan sejenak di dalam Al-Quran, kalimah ‘Ar-Rahman’ (Allah Maha Penyayang dan Mengasihi hambaNya) disebut 100 kali di dalam Al-Quran dan kalimah ‘Rahman atau Rahmah’ disebut sebanyak 114 kali.

    Mengetahui akan hal ini, selaku orang Islam yang beriman kepada Allah dan rasulNya, jangan pernah sekali-kali kita berputus asa dari rahmatNya.

    Sebesar mana pun dosa kita, selama mana kita bersungguh-sungguh dalam bertaubat (taubat Nashuha) nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kita kerana ketahuilah sesungguhnya rahmat pengampunan Allah itu adalah lebih besar dari itu.

    Kesan buruk berputus asa

    Antara kesan buruk dan bahaya berputus asa itu ialah lupa terhadap betapa besar dan agungnya kebaikan dan kasih sayang Allah SWT kepada hambaNya.

    Mereka yang berputus asa juga ditimpa dengan kerugian di dunia dan juga di akhirat, dan mereka tergolong dari kalangan mereka yang mengkufuri nikmat Allah SWT dan tidak bersyukur dan tergolong dari dosa-dosa besar, malah ia ditarafkan dengan sifat kaum kafir yang selalu berputus asa dan tidak mampu membezakan antara baik dan buruk.

    Maka dari itu, kita seharusnya menghindar sikap berputus asa yang mana boleh diatasi dengan mengakui dan memahami perasaan, tenangkan fikiran, hindari hal-hal yang boleh merumitkan keadaan dan jangan membanding-bandingkan keadaan diri dengan orang lain.

    Kita juga harus memerhatikan nilai dan sikap positif pada orang lain, kemudian mensyukuri apa yang dianugerahkan Allah kepada kita.

    Berkongsi perasaan dengan keluarga terdekat dan rakan-rakan yang boleh dipercayai, mengenali masalah, tenangkan fikiran dan layani diri dengan sebaik mungkin dengan melakukan aktiviti yang digemari.

    Jika mereka yang dijangkiti wabak COVID-19, disarankan juga untuk tidak berputus asa dan dapatkan bantuan. Dalam konteks COVID-19 hubungi Talian Harapan 145, 148 dan sebagainya dan cubalah mengubah cara pandangan dan banyakanlah mengadu kepada Allah SWT.

    ‘Vaksin ketuhanan’

    Menyentuh mengenai dengan penularan wabak COVID-19 iaitu satu wabak penyakit berjangkit dan setiap penyakit itu ada cara mengatasinya. Atas sebab itu, sebagaimana saranan kerajaan, kita diminta untuk berusaha mengambil dua pendekatan yang dibenarkan syarak iaitu melalui vaksinasi dan juga ‘vaksin ketuhanan’ iaitu doa dan sedekah.

    Daripada Abu Darda meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW, bersabda yang bermaksud (riwayat Abu Daud):

    “Sesungguhnya Allah SWT telah menurunkan penyakit dan ubat dan menjadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu dan jangan kamu berubat dengan benda yang haram.”

    Tip pencegahan

    Dalam Terapi Kejiwaan kali ini, terdapat beberapa tip pencegahan dikongsikan iaitu apabila ditimpa sesuatu masalah, kegagalan atau kesukaran sama ada keinginan yang tidak tercapai atau tidak kesampaian, maka usah menyerah kalah dan berputus asa.

    Usahakanlah menggunakan cara dan pendekatan yang berbeza untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan dan kepada Allah jugalah sebaik-baik tempat untuk mengadu dan memanjatkan doa pada tiap masa dan keadaan.

    Antara doa ringkas yang diajarkan oleh Rasulullah untuk diamalkan ialah “Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya mudah. Dan Engkaulah yang menjadikan kesedihan (kesulitan), jika Engkau kehendaki pasti ia akan menjadi mudah.”

    Akhirnya, sebagai orang yang beriman, kita memiliki semangat dan keazaman yang kental untuk menghadapi sebarang masalah, cabaran dan rintangan tanpa mudah berputus asa. Kita perlu sentiasa meningkatkan usaha dan ikhtiar bagi menangani sesuatu kesulitan.

    Adapun setiap apa yang berlaku itu pasti ada hikmahnya dan Allah SWT tidak akan menjadikan sesuatu itu sia-sia dan tidak sekali-kali Dia menzalimi hamba-hambaNya.

    Oleh itu, didiklah hati kita untuk sentiasa bersangka baik pada ketetapan Allah SWT kerana Dia jugalah sebaik-baik perancang.

    Mari kita jaga diri dan keluarga dari terjerumus dengan gejala berputus asa terhadap rahmat Allah dengan menjauhi perkara yang melanggar undang-undang dan ajaran Islam seperti minum-minuman yang memabukkan, berpaling dari agama Islam, berjudi, bunuh diri dan apa jua perkara yang boleh memudaratkan diri sendiri dan orang lain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda