‘Jangan bising gagar karang lauk’

Oleh Raz AS

‘Jangan bising gagar karang lauk.’ Sebagai seorang pemancing yang serius tentu sahaja ungkapan ini biasa kita dengar atau keluar daripada mulut kita sendiri, terutama ketika memancing di kawasan anak-anak sungai, tali air atau di kawasan yang cetek, tidak kiralah semasa memancing di tebing mahupun menggunakan bot.

Mungkin sahaja ada di antara pemancing di luar sana yang tidak begitu mengendahkan tentang hal bunyi bising semasa memancing terutama yang turun padang sekadar untuk bersuka-suka bersama rakan-rakan, manakala sebahagiannya lagi mungkin tidak percaya bunyi bising akan dapat menjejaskan hasil tangkapan.

Alasannya, dengan keadaan perahu lalu lalang pancing mereka masih sahaja disambar ikan dan teknik menunda atau trolling masih sahaja membuahkan hasil sedangkan bunyi datang daripada enjin perahu sentiasa. Sebenarnya ada juga kebenaran di sebalik dakwaan-dakwaan tersebut.

Seperti haiwan lain dan juga manusia, ikan sebenarnya boleh mendengar bunyi. Ikan mendengar melalui getaran yang disebarkan melalui air dan bunyi bergerak empat kali ganda lebih pantas di dalam air berbanding udara. Bunyi ini diterima melalui telinga dalaman ikan yang terletak berhampiran otaknya betul-betul di belakang mata ikan.

Akan tetapi tidak semua bunyi adalah sama. Sesetengah bunyi boleh menyebabkan ikan takut, sesetengah lagi boleh menimbulkan minat ingin tahu sang ikan dan sesetengah lagi tidak akan diendahkannya. Tambahan lagi ikan yang berbeza saiz akan memberikan reaksi yang berlainan. Ikan-ikan kecil akan lebih mudah berasa takut terhadap bunyi-bunyian berbanding ikan-ikan besar. Sesetengah ikan lebih sensitif terhadap bunyi berbanding yang lain atau mengikut kawasan yang tertentu.

Anatomi telinga dalaman ikan yang terletak berhampiran otaknya betul-betul di belakang mata ikan. – Agensi
Menurut kajian, ikan akan lebih berhati-hati dan mudah berasa takut kerana bunyi bising yang mendadak seperti bunyi enjin atau tapak kaki kita ketika baru tiba ke padang pancing yang dituju. – Agensi

Sememangnya diakui bahawa kita tidak dapat menghindarkan diri daripada menghasilkan bunyi 100 peratus ketika berada di padang pancing selain daripada cuba untuk meminimumkannya. Bunyi tapak kaki ketika berjalan, bercakap, batuk, bersin, bunyi telefon bimbit, enjin perahu dan lain-lain.

Menurut kajian, ikan akan lebih berhati-hati dan mudah berasa takut kerana bunyi bising yang mendadak. Seperti bunyi enjin atau tapak kaki kita ketika baru tiba ke padang pancing yang dituju, bunyi coolbox atau toolbox dibuka tutup, terpijak ranting kering atau sebagainya.

Bunyi-bunyian ini berupa amaran kepada ikan-ikan mengenai potensi bahaya yang bertandang ke ‘rumah’ mereka. Secara logiknya, kita sendiri sebagai manusia pun akan terkejut apabila terdengar bunyi asing yang datang secara tiba-tiba.

Cuba bayangkan ketika kita sedang duduk diam atau berjalan-jalan sendirian di tempat sunyi di mana yang kedengaran hanyalah bunyi alam semula jadi atau yang kita sudah ketahui dari mana datangnya dan tiba-tiba kedengaran bunyi tapak kaki atau benda terhempas tentu sahaja kita dari jauh lagi menjadi lebih peka dan lebih berhati-hati terhadap kawasan sekeliling kerana naluri kita sebagai makhluk hidup cuba untuk menghindari daripada sebarang potensi bahaya.

Bagaimana pula halnya dengan aktiviti trolling di mana bunyi enjin sentiasa kedengaran atau ketika memancing berdekatan jalan raya dan jambatan atau di kawasan bandar di mana pencemaran bunyi sentiasa berlaku? Kenapa ikan masih sahaja berada di kawasan tersebut dan memakan pancing yang dihulurkan?

Sekali lagi, seperti juga manusia dan haiwan lainnya ikan juga boleh terbiasa terhadap bunyi-bunyian yang selalu didengar. Lebih-lebih lagi tiadanya perubahan pada bunyi tersebut dengan mengejut seperti bunyi yang terhasil daripada aktiviti harian.

Tiada perubahan bunyi yang mengejut juga boleh bermakna enjin perahu yang sentiasa hidup dalam keadaan gear neutral akan kurang menakutkan ikan berbanding enjin yang mati dan tiba-tiba dihidupkan. Manakala enjin perahu yang mengekalkan kelajuan yang sama akan kurang menakutkan ikan berbanding enjin yang tiba-tiba dilajukan dan diperlahankan atau semasa menukar gear.

Sebagai contoh bagaimana ikan boleh beradaptasi dengan keadaan bunyi sekeliling, mengikut pengalaman penulis semasa melakukan aktiviti casting ikan dalak di kawasan parit-parit dan tali air berdekatan jalan raya dan kebun-kebun, ikan-ikan dalak yang sudah biasa mendengar bunyi-bunyi yang datang daripada kenderaan yang lalu lintas dan aktiviti manusia kurang sensitif terhadap bunyi-bunyi asing.

Oleh yang demikian penulis tidak begitu mengendahkan pendekatan secara senyap dan kadang-kadang masih sahaja bercakap-cakap dan bergurau senda bersama rakan meman-cing jika ada. Namun masih juga cuba meminimumkan bunyi-bunyian mendadak yang bising seperti bunyi hentakan dan sebagainya.

Berlainan dengan ketika memancing di kawasan pedalaman atau jauh daripada pencemaran bunyi. Apa yang penulis sedari ikan dalaknya lebih bersifat ‘pemalu’ dan berhati-hati. Kadang-kadang baru melangkah setapak dua dan batuk sekali sudah nampak sang ikan berdesup melarikan diri umpama torpedo. Oleh itu penulis akan lebih berhati-hati semasa melangkah atau bergerak secara menghendap.

Jika ingin dibandingkan dengan kita sebagai manusia, setentunya kita kurang ambil perhatian terhadap bunyi-bunyian jika kita berada di kawasan yang sesak atau bising berbanding reaksi kita terhadap bunyi di kawasan yang senyap seperti yang dijelaskan awal tadi.

Namun begitu, bunyi tidak semestinya menjadi musuh pemancing. Jika begitu halnya kenapa terdapat lure yang menghasilkan bunyi digunakan untuk menangkap ikan. Bunyi-bunyi yang terhasil daripada lure yang menghasilkan bunyi seperti popper, buzzbait atau rattlebait mungkin akan menakutkan ikan-ikan kecil yang menyangka kehadiran pemangsa. Akan tetapi bagi ikan-ikan besar pula bunyi tersebut mungkin bermakna makanan mereka ada berdekatan.

Akan tetapi tidak semua ikan besar suka mendengar bunyi yang datang daripada lure. Sesetengahnya mengikut keadaan akan menjadi lebih berwaspada. Oleh yang demikian dalam hal itu lure ‘senyap’ lebih sesuai digunakan.