‘Jangan buat hal, nanti ditarik balik’

Tindakan seorang penerbit dan pengurus produksi (PM) mengambil pelakon yang belum lengkap vaksinasi untuk memulakan penggambaran mengundang kemarahan aktres Fauziah Nawi.

Fauziah, 68, mengakui bimbang kelonggaran yang diberikan ditarik balik jika pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengetahui perkara itu.

“Macam mana ada penerbit dan PM boleh ambil pelakon atau karyawan yang tak vaksin? Janganlah buat hal. Nanti kerana kalian, kebenaran akan ditarik balik.

“Menyusahkan. Kalau pihak #KKM #MKN #Finas dapat tahu macam mana? Atau kalian ada cable besar ke? Ini bukan cemburu tapi diam-diamlah,” kata Fauziah.

Terdahulu, Fauziah atau lebih mesra disapa sebagai ibu Fauziah menerusi Instagram meluahkan rasa kesal terhadap penerbit yang mengambil kesempatan terhadap kebenaran yang diberikan.

Fauziah Nawi berang tindakan seorang penerbit dan PM mengambil pelakon yang belum lengkap vaksinasi untuk memulakan penggambaran. – Agensi

Pada Selasa, kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) bersetuju melonggarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa 1 bagi industri kreatif, berkuatkuasa 9 September.

Persetujuan untuk memberi kelonggaran berkenaan adalah tertakluk kepada syarat SOP yang diluluskan oleh MKN, termasuk hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19 serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan.

Dalam pada itu, Fauziah memberitahu semua penggiat seni yang ingin memulakan kerja sepatutnya mematuhi SOP yang ketat seperti yang ditetapkan kerajaan.

Biarpun vaksinasi itu merupakan pilihan individu namun Fauziah berharap semua pihak tidak bersikap pentingkan diri sendiri.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan siapakah individu yang dimaksudkan Fauziah menerusi perkongsian berkenaan. – Agensi