Monday, March 10, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan buat helah agar terlepas dari kewajipan berzakat

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Harta yang dimiliki oleh seseorang merupakan anugerah daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Ia berupa anugerah yang dinikmati oleh si pemilik itu sendiri.

    Akan tetapi dalam masa yang sama terdapat hak bagi orang-orang tertentu di dalam harta tersebut jika mencukupi syarat-syarat tertentu untuk dikeluarkan melalui ibadat zakat.

    Mengeluarkan zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima. Ia dikategorikan sebagai ibadat mal (harta) iaitu ibadat yang dilakukan melalui harta yang dimiliki.

    Harta-harta yang wajib dikeluarkan zakat pula adalah dari jenis-jenis tertentu dan dengan syarat-syarat tertentu. Contohnya wajib dikeluarkan zakat emas simpanan apabila cukup nisab 85 gram dan kekal dalam simpanannya selama setahun Hijrah.

    Kewajipan mengeluarkan zakat banyak disebutkan di dalam al-Qur’an, hadits-hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan juga ijmak ulama. Disebutkan juga ganjaran-ganjaran bagi sesiapa yang melaksanakannya sesuai dengan apa yang diperintahkan.

    Antara harta yang wajib dikeluarkan zakat ialah emas simpanan apabila cukup nisab 85 gram dan kekal dalam simpanannya selama setahun Hijrah.

    Begitu juga disebutkan balasan bagi sesiapa yang tidak mengeluarkan zakat sedangkan dia berkewajipan untuk mengeluarkannya kerana mencukupi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

    Dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam diperlihatkan pembalasan berupa seksaan bagi orang yang tidak mengeluarkan zakat selain daripada seksaan bagi orang yang melibatkan diri dalam riba, pencela dan pemfitnah, perempuan yang tidak menutup aurat dan penyeksaan-penyeksaan yang lain lagi.

    Oleh kerana pengeluaran zakat ini bergantung kepada syarat-syarat tertentu, mungkin sahaja terdapat sebilangan orang yang licik ingin melarikan diri dari kewajipan berzakat dan membuat helah tertentu supaya hartanya tidak dikenakan zakat.

    Antara helah yang dibuat ialah menjual atau memberikan kepada ahli keluarga harta yang mencukupi syarat zakat sebelum haulnya tiba. Dengan itu, mereka tidak perlu mengeluarkan zakat, kerana harta tersebut tidak cukup nisab untuk dikeluarkan zakat.

    Yang menjadi persoalan ialah apakah hukumnya orang yang berhelah untuk mengelak dari kewajipan mengeluarkan zakat pada hartanya?

    Perintah mengeluarkan zakat dan ganjarannya

    Mengeluarkan zakat merupakan perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang banyak disebutkan di dalam al-Qur’an al-Karim.

    Antaranya Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya: “Dan dirikan oleh kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat dan ruku‘lah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang yang ruku‘.” (Surah al-Baqarah: 43)

    Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasa-llam pula bersabda yang maksudnya: “Kamu sembahlah Allah, jangan menyekutukannya dengan sesuatu, dirikanlah sembahyang, serahkanlah zakat dan sambunglah silaturrahim.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

    Dari segi ganjaran mengeluarkan zakat pula, orang-orang yang mengeluarkan zakat akan memperolehi ganjaran besar daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Antaranya memperolehi ganjaran pahala yang berganda sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya: “Dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda.” (Surah ar-Ruum: 39)

    Balasan tidak menunaikan zakat

    Balasan berupa azab bagi sesiapa yang meninggalkan zakat banyak disebutkan dalam hadits-hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Antaranya:

    Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang dikurniakan harta oleh Allah, namun dia tidak menunaikan zakatnya, maka harta itu akan dijadikan sebagai ular jantan gundul yang mempunyai dua taring yang akan mengalunginya pada hari kiamat.

    “Kemudian ular itu mengambil dengan dua tulang rahangnya dengan berkata: “Saya adalah hartamu, saya adalah simpananmu”, kemudian Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca: (ayat ke 180 dari surah ali-‘Imran) yang tafsirnya: Dan janganlah sekali-kali orang yang bakhil dengan apa yang dikurniakan Allah kepada mereka dari kurnia kemurahanNya (enggan mengeluarkan harta di jalan Allah dan tidak mahu membayar zakat) menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Bahkan sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka.

    Mereka akan dikalungkan dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan kepunyaan Allah jualah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan)” (Hadits riwayat al-Bukhari)

    Dalam hadits yang lain pula, Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya: “Tiada bagi tuan yang empunya emas dan (tiada bagi sesiapa yang empunya) perak yang tidak menunaikan hak daripada emas dan perak (zakat), kecuali pada hari kiamat akan dihamparkan kepingan-kepingan daripada api, kemudian kepingan-kepingan itu dipanaskan di dalam neraka Jahannam, kemudian dicucuh dahinya dan punggungnya (dengan kepingan-kepingan tersebut). Setiap kali kepingan itu menjadi dingin, ia kembali dipanaskan dan (hal ini terus terjadi) sehingga lima ribu tahun.” (Hadits riwayat Muslim)

    Hukum membuat helah agar terhindar dari kewajipan berzakat

    Para ulama mazhab Syafi‘e seperti Imam Ibn Hajar, Imam ar-Ramli, Imam al-Khatib asy-Syarbini dan Imam al-Malibari Rahimahumullah menyebutkan bahawa makruh bagi seseorang yang memiliki harta itu menghilangkan pemilikannya terhadap harta itu sama ada dengan menjual atau pertukaran kerana membuat helah agar menolak dari melaksanakan kewajipan zakat.

    Perbuatan tersebut dianggap sebagai lari daripada melakukan qurbah iaitu mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Sebagai contoh; seseorang memiliki lembu sebanyak 35 ekor dan dia mengetahui apabila sampai haul dia wajib mengeluarkan seekor anak lembu berumur satu tahun sebagai zakat kerana jumlah lembu yang sudah mencapai nisab.

    Untuk mengelak daripada mengeluarkan zakat, dia berhelah dengan menjual separuh dari lembunya. Dengan demikian dia terlepas dari kewajipan mengeluarkan zakat lembunya.

    Contoh yang lain pula; seseorang memiliki wang simpanan berjumlah $10,000. Kemudian beberapa hari sebelum genap haulnya iaitu setahun Hijriyyah, wang tersebut dibelanjakannya sehingga berkurang daripada nisabnya dengan tujuan untuk mengelak dari kewajipan mengeluarkan zakat.

    Dalam dua contoh di atas, perbuatan menghilangkan status pemilikian itu hukumnya adalah makruh.

    Walau bagaimanapun sesetengah ulama berpendapat bahawa haram bagi seseorang membuat helah dengan menghilangkan status pemilikannya terhadap harta untuk lari dari menunaikan zakat.

    Ibn ash-Shalah Rahimahullah pula berkata bahawa (seseorang yang membuat helah agar terhindar dari kewajipan zakat itu) berdosa kerana niatnya, bukan disebabkan perbuatannya (menjual atau menukarkan hartanya).

    Menghilangkan pemilikan harta kerana hajat atau keperluan

    Berlainan halnya pula dengan seseorang yang menghilangkan status pemilikan hartanya kerana ada keperluan, umpamanya dia menjual lembunya yang bakal dikenakan zakat selang beberapa hari sebelum cukup haulnya bagi tujuan untuk mendapatkan wang perbelanjaan untuk membeli keperluannya atau keperluan keluarganya dan sebagainya. Perbuatan seperti ini tidaklah dihukumkan makruh.

    Begitu juga jika seseorang itu menghilangkan status pemilikannya kerana hajat atau keperluan dan dalam masa yang sama juga bertujuan untuk lari dari kewajipan berzakat, maka dalam keadaan ini pun tidaklah perbuatannya itu dihukumkan makruh.

    Kesimpulannya, mengeluarkan zakat adalah wajib hukumnya apabila cukup syarat-syaratnya dan berdosa jika seseorang yang mencukupi syarat-syarat yang ditetapkan tidak menunaikan kewajipan tersebut.

    Membuat helah semata-mata untuk lari daripada menunaikan zakat walaupun hanya dihukumkan makruh, akan tetapi ia bukanlah satu tindakan yang elok.

    Lebih-lebih lagi menunaikan zakat itu merupakan salah satu daripada rukun Islam. Bahkan ada juga ulama yang menghukumkannya sebagai haram.

    Membuat helah untuk maksud lari dari zakat itu benar-benar mendatangkan kerugian kerana terlepas peluang untuk bertaqarrub iaitu mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan terlepas peluang untuk mendapatkan kelebihan yang hebat yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada orang yang menunaikan zakat.

    Menunaikan zakat tidak sekali-kali mendatangkan kerugian, malahan sebaliknya mendatangkan keuntungan kepada orang yang berzakat dan keberkatan pada harta yang dizakat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda