Friday, February 7, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan cemas keputusan ujian serologi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Orang ramai dinasihatkan untuk tidak merasa cemas atau bimbang jika mereka menerima berita mengenai sesiapa yang didapati positif ujian serologi.

    Dapatan awal kaji selidik serologi yang diadakan di beberapa buah masjid terpilih menunjukkan bahawa seramai 12 orang peserta kaji selidik daripada 504 orang peserta telah didapati positif ujian serologi.

    Dapatan awal itu dikongsi oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

    Namun demikian, jelasnya lagi, kesemua mereka berserta keluarga mereka telah didapati negatif ujian swab bagi SARS-CoV-2 dan disahkan tidak mempunyai jangkitan yang aktif.

    “Orang ramai dinasihatkan untuk tidak merasa cemas atau bimbang jika menerima berita mengenai sesiapa yang didapati positif ujian serologi ini,” ujar beliau.

    Kaji selidik serologi itu bertujuan untuk menganggarkan kadar penduduk di negara ini yang pernah dijangkiti oleh virus tersebut dalam masa beberapa bulan sebelum ini.

    Ini akan membantu Kementerian Kesihatan menetapkan garis dasar atau baseline kekebalan penduduk atau population immunity bagi jangkitan tersebut.

    Bagi peserta-peserta kaji selidik yang didapati positif ujian serologi ini bermakna mereka pernah dijangkiti virus tersebut pada satu ketika dan besar kemungkinan mereka sendiri tidak mengetahui yang mereka telah dijangkiti.

    Untuk memastikan mereka tidak mempunyai jangkitan yang aktif pada masa ini, mereka dan ahli keluarga yang tinggal serumah dengan mereka akan diaturkan untuk menjalani ujian swab bagi SAR-CoV-2.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda