Tuesday, February 11, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan cuaikan kemerdekaan

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Feb – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengingatkan bahawa kemerdekaan adalah sebahagian daripada sejarah bangsa, dan malah merupakan ‘mahkota’ bangsa.

    Titah Baginda, mencuaikan kemerdekaan bermakna mencuaikan sejarah serta sekali gus ‘menyambaranakan’ mahkota bangsa.

    Sehubungan itu, Baginda bertitah pengisian Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini, eloklah lebih menekankan kepada pembentukan sifat-sifat dalaman yang sihat, seperti jujur, amanah dan setia.

    Tanpa semua sifat-sifat ini, jentera kehidupan atau jentera pentadbiran tidak akan dapat berjalan baik, bahkan sebaliknya boleh bermasalah dan lemah, tegas Baginda dalam titah perutusan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 yang disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Brunei (RTB).

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam titah turut mengajak seluruh rakyat merafakkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dapat menyambut Hari Kebangsaan yang ke-33 pada tahun ini dalam keadaan aman dan makmur.

    Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah perutusan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-33. - Gambar oleh Infofoto
    Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah perutusan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-33. – Gambar oleh Infofoto

    “Pada tahun ini kita menyambutnya dengan tema ‘Menjayakan Wawasan Negara.’ Tema ini sangatlah bersesuaian setelah tiga tahun berturut-turut kita memakai ‘Generasi Berwawasan.’

    “Wawasan Brunei 2035 telah menetapkan tiga matlamat utamanya. Bagi merealisasikan matlamat ini, Beta telahpun memperkenankan kerangka kerja, yang antara lain, menggariskan bidang-bidang utama yang perlu diberikan perhatian serta ke arah pencapaian hasil-hasil yang perlu dicapai. Peneraju-peneraju bagi setiap strategi juga telah dilantik.”

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah, kita tidaklah wajar membiarkan wawasan ini sebagai satu retorik intelektual semata-mata, yang cuma indah dalam sebutan. Tetapi kita mesti melaksanakannya dengan penuh komitmen dan bersungguh-sungguh.

    “Kita perlu bertindak lebih tangkas bagi menghasilkan impak yang tinggi yang boleh menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara. Untuk ini semua, kita diperlukan terlebih dahulu, untuk bersatu padu. Jangan berpecah-belah. Pastikan semua usaha yang dibuat adalah secara muafakat, relevan dan menepati peredaran masa. Inilah rahsia atau kejayaan bagi Wawasan Negara 2035.

    “Ini, meliputi untuk semua, sama ada sektor kerajaan mahupun swasta adalah mustahak untuk memupuk kerjasama dan persefahaman, dalam makna, semua kita adalah dikehendaki untuk bekerja dalam satu pasukan tanpa melakukan perkara-perkara yang menyalahi peraturan atau undang-undang,” titah Baginda.

    Menurut Baginda lagi, walaupun kita sudah memiliki infrastruktur, teknologi, peralatan, mekanisme dan sistem yang baik, namun jika ‘dalaman’ kita tidak baik, maka hasilnya tetap tidak baik juga.

    “Misalnya apabila di dalam kerajaan terdapat mekanisme yang ‘korup’, maka sekalipun ianya daripada kalangan ilmuan dan mempunyai kemahiran tinggi, namun sikapnya yang ‘korup’ itu tidak akan menolong untuk membawa kebaikan, malah sebaliknya menjerumuskan negara kepada keburukan.

    “Inilah yang perlu kita kawal untuk mengelakkan negara daripada mengalami perkara-perkara yang tidak diingini.

    “Kita sudah melihat atau mendengar, banyak kejadian yang tidak diingini berlaku di mana-mana, seperti amalan-amalan pecah amanah, rasuah dan lain-lain.

    “Kita juga turut mengetahui, bahawa tempat-tempat yang dilanda oleh gejala-gejala seperti ini tidak sunyi daripada mengalami pelbagai kesusahan. Oleh itu dalam hubungan ini, Brunei mestilah selalu waspada, sambil mengambil iktibar daripadanya.”

    Titah Baginda, pengisian Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini, eloklah lebih menekankan kepada pembentukan sifat-sifat dalaman yang sihat, seperti jujur, amanah dan setia. Tanpa semua sifat-sifat ini, jentera kehidupan atau jentera pentadbiran tidak akan dapat berjalan baik, bahkan sebaliknya boleh bermasalah dan lemah.

    Menurut Baginda, semua program adalah wajar bersifat ilmiah dan bercorak inklusif serta mampu untuk merentasi semua generasi. Tujuan kita dengan ini, ialah supaya semua peringkat, secara sambung-bersambung, akan dapat memahami erti sebenar kemerdekaan.

    “Maka dengan itu, barulah nanti akan dapat diharapkan semua pihak, khasnya para generasi yang menyusul kemudian, akan benar-benar terikat kepada menghargai dan menyayangi kemerdekaan.”

    Baginda mengakhiri titah dengan ikhlas merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peserta dan petugas serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi serta ahli-ahli jawatankuasa yang sama-sama berusaha dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Kali ke-33 pada tahun ini.

    “Beta juga merakamkan ucapan penghargaan kepada semua lapisan rakyat dan penduduk di negara ini termasuk semua peringkat warga perkhidmatan awam, meliputi juga mereka yang bertugas di luar negara, pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iringan doa, semoga kita dan negara akan sentiasa terpelihara dan mendapat perlindungan daripada Allah SWT.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda