(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Sambungan minggu lepas
Mazhab Syafi‘i juga menetapkan bahawa pemberian nafkah bermula dari terbit matahari setiap hari.
Walau bagaimanapun adalah harus memberi nafkah itu sama ada disegerakan atau dilambatkan tertakluk kepada persetujuan suami isteri tersebut.
Wajib memberi nafkah dengan mengeluarkan kadar mudd (cupak) daripada makanan asasi sesebuah negeri yang sah dijadikan zakat fitrah sebagaimana diqiyaskan dalam kadar membayar kaffarah.
Di Negara Brunei Darussalam, nilai satu mudd bersamaan dengan lebih kurang 567 gram beras. Kadar nafkah sebagaimana berikut:

i. Suami yang berkemampuan/kaya: Sebanyak dua mudd, iaitu bersamaan dengan 1 kilo 134 gram beras sehari.
ii. Suami yang berkeadaan sederhana: Sebanyak 1½ mudd, iaitu bersamaan dengan 850.50 gram beras sehari.
iii. Suami yang tidak mampu/miskin: Sebanyak 1 mudd, iaitu bersamaan 567 gram beras sehari.
Menurut Imam as-Syirazi pula adalah harus bagi suami memberi beras itu dengan nilaian harga jika isteri bersetuju.
B. NAFKAH ISTERI YANG DALAM ‘IDDAH
i. ‘Iddah kerana talak raj‘ie
Isteri yang ber‘iddah kerana talak raj‘ie (talak satu atau dua), sama ada dia hamil ataupun tidak, wajib suaminya memberi nafkah kepadanya berupa sara hidup, makanan, pakaian dan tempat tinggal sepanjang tempoh ‘iddahnya atau sehingga melahirkan anak dalam kandungannya.
Walau bagaimanapun alat pembersih badan dan pencuci pakaian tidak termasuk nafkah yang diwajibkan ke atas suami kepadanya kecuali jika isteri ditimpa kesusahan dengan keadaan yang kotor.
Maka dalam keadaan ini wajib suami memberikannya nafkah bagi membersihkan badan dan pakaian.
ii. ‘Iddah kerana talak ba’in
Isteri yang ber‘iddah kerana talak ba’in (kerana talak tiga atau kerana khulu‘) yang tidak hamil, maka dia tidak menerima nafkah sara hidup dan pakaian dari (bekas) suami.
Bagaimanapun isteri tersebut berhak diberi tempat tinggal sepanjang tempoh ber‘iddah.
Isteri yang ber‘iddah kerana talak ba’in dan sedang hamil pula, menurut sepakat ulama, diberikan nafkah dan tempat tinggal selama dalam tempoh kehamilan sehingga dia melahirkan anak dalam kandungannya.
iii. ‘Iddah kerana kematian suami
Isteri yang ber‘iddah kerana kematian suami, tiada nafkah baginya, tetapi dia berhak mendapat tempat tinggal, sama ada hamil ataupun tidak.
C. NAFKAH ISTERI BAGI SUAMI YANG TIDAK BERKEMAMPUAN
Kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri itu tidak gugur dan tidak luput, sama ada suami seorang yang kaya (berkemampuan) atau seorang yang susah.
Jika seorang suami yang berkemampuan atau sederhana menyerahkan kepada isterinya kadar nafkah yang kurang daripada apa yang diwajibkan, umpamanya menyerahkan dengan kadar yang diwajibkan kepada orang miskin, maka baki yang kurang tersebut dianggap sebagai hutang suami kepada isterinya.
Jika tiba-tiba keadaan seorang suami berubah daripada berkemampuan kepada pertengahan atau miskin, atau daripada pertengahan kepada miskin, maka isteri mesti mengikut keadaan suami dan dia tidak boleh meminta lebih daripada kadar yang ditentukan berdasarkan keadaan suami.
NAFKAH BAPA KEPADA ANAK-ANAK
Adalah menjadi kewajipan seorang bapa untuk memberi nafkah kepada anaknya, lelaki atau perempuan.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya:
Dan jika mereka menyusukan anak kamu, maka berilah mereka upah. (Surah ath-Thalaq: 6)
Dalam ayat ini, Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah mewajibkan bahawa bayaran upah kepada perempuan (sama ada isteri atau perempuan lain) yang menyusukan anak damit ditanggung dan dibayar oleh bapa anak damit tersebut.
Apabila kewajipan membayar upah penyusuan anak damit tersebut tertanggung ke atas bapa, maka mewajibkan ke atas bapa untuk memberi sara hidup dan nafkah kepada anak tersebut adalah lebih utama.
SYARAT WAJIB BAGI SEORANG AYAH MEMBERI NAFKAH
Kewajipan seorang bapa memberi nafkah kepada anaknya adalah tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
1. Bapa mempunyai kemampuan: Seorang bapa diwajibkan ke atasnya memberi nafkah kepada anaknya apabila dia mempunyai kemampuan untuk memberi nafkah, iaitu seorang bapa mempunyai lebihan daripada nafkah dirinya sendiri dan nafkah isterinya bagi tempoh sehari semalam sama ada daripada hartanya ataupun daripada pendapatannya.
2. Anak kecil: Disyaratkan anak yang ditanggung nafkahnya itu masih kecil. Maka dalam hal ini, diwajibkan nafkahnya ke atas bapanya.
Ini disebabkan faktor ketidakmampuan anak kecil itu untuk mencukupkan keperluan dirinya dan dia memang berhajat atau memerlukan nafkah tersebut.
3. Anak yang fakir: Disyaratkan anak yang ditanggung nafkahnya itu seorang yang fakir, iaitu anak tersebut tidak mempunyai kecukupan untuk keperluan dirinya dan dia tidak berkemampuan untuk bekerja.
Sebagai contoh anak yang cacat anggota tubuh badannya sehingga sukar baginya untuk melakukan pekerjaan.
Maka dalam hal ini, diwajibkan ke atas bapanya untuk memberi nafkah kepadanya.
Tetapi jika dia memiliki kecukupan untuk keperluan dirinya bererti dia tidak berhajat pada orang lain atau jika dia mampu untuk bekerja maka samalah keadaannya seperti orang yang mampu untuk mendapatkan harta.
Dalam hal ini, tidak wajib ke atas bapanya untuk memberikan nafkah kepadanya.
Sesungguhnya nafkah isteri dan anak-anak itu merupakan kewajipan yang dituntut oleh syara‘ ke atas seorang suami.
Janganlah sekali-kali diabaikan tanggungjawab memberi nafkah kepada mereka. Sekiranya pun terjadi perceraian suami isteri, nafkah anak-anak tetap hak yang dipertanggungjawabkan ke atas bapa mereka iaitu bekas suami.

