Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Dengan kehadiran bulan Ramadan tidak lama lagi, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Kementerian Pembangunan mengingatkan para vendor gerai makanan untuk tidak membangunkan gerai-gerai tanpa kebenaran dan sembarangan sepanjang jalan awam.
Gerai-gerai makanan yang dibina di sepanjang jalan raya menimbulkan isu keselamatan yang serius, menimbulkan risiko kepada pemandu di jalan raya, kewujudan kereta-kereta yang diletakkan secara haram serta ramai pejalan kaki yang melintas jalan secara sembarangan.
Di samping itu, kewujudan gerai-gerai yang tidak dikawal selia telah menyumbang kepada kesesakan jalan raya pada masa lalu, mengganggu aliran lancar kenderaan serta menyebabkan ketidakselesaan dan kelewatan kepada pengguna jalan raya.
KHEDN dan Kementerian Pem-bangunan menyeru vendor gerai makanan untuk mematuhi kawasan-kawasan yang ditetapkan yang disediakan oleh kerajaan bagi aktiviti-aktiviti jualan serta beroperasi secara sah.
Dengan itu, para vendor boleh memastikan keselamatan pelanggan, mengurangkan gangguan lalu lintas serta mempromosikan persekitaran awam yang harmoni.
Membangunkan mana-mana struktur di atas mana-mana jalan atau di mana-mana rizab jalan selain di bawah kuasa undang-undang bertulis adalah menjadi satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Akta Lalu Lintas Jalan dengan denda $2,000 dan penjara selama sebulan.
Ketua Pengarah Kerja Raya mempunyai kuasa untuk mengalihkan struktur sedemikian di mana terdapat kemungkinan bahaya serta-merta kepada lalu lintas dan boleh mendapatkan semula perbelanjaan pengalihan berkenaan daripada orang yang mempunyai kawalan dan pemilikan struktur itu.

– GAMBAR-GAMBAR SERAHAN KHEDN & KEMENTERIAN PEMBANGUNAN


