Pelakon popular Malaysia, Fattah Amin meluahkan rasa kesal apabila isu membabitkan ibunya, Azizah Abd Ghani, dan anak perempuannya, Nur Fatima Aisya, tular hingga mencetuskan pelbagai spekulasi di media sosial.
Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin, 34, berkata, dakwaan kononnya ibunya menyifatkan Fatima sebagai tidak comel dan tidak pandai bukan sahaja tidak benar, malah mengundang kesan emosi kepada mereka sekeluarga.
“Sudah tentu ibu saya sedih. Tapi saya pesan pada ibu, tak perlu baca atau dengar benda-benda begini kerana orang luar tidak tahu cerita sebenar.
“Orang boleh buat macam-macam andaian, boleh bercakap apa saja, bahkan memfitnah. Tapi kalau perkara itu tidak betul, kita jangan terasa atau terkesan,” katanya ditemui pada majlis pengumuman duta baharu Amber, hari ini.
Terdahulu, tular video memaparkan Fatima meluahkan kepada ibunya yang juga aktres jelita,Nur Fazura, bahawa neneknya pernah menggelarnya tidak comel dan tidak pandai.
Menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu berkata hubungan antara Fatima dengan neneknya berada dalam keadaan baik.
“Fatima okay saja, tiada reaksi negatif pun. Jadi, saya mohon orang ramai jangan keluarkan komen yang tidak wajar atau membuat andaian yang boleh menimbulkan fitnah.
“Lebih baik kita tulis yang baik-baik, komen yang baik-baik dan cakap perkara yang baik-baik. Jangan timbulkan rasa benci antara satu sama lain.
“Setakat ini hubungan saya dengan anak, mommy dia dan neneknya baik saja. Kami masih berjumpa dan keluar bersama,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Fattah berkata dia memilih untuk terus memberi tumpuan kepada kerjaya seni walaupun terpaksa berdepan dengan gosip dan cerita tidak benar.
“Perkara sebegini bukan baharu. Sejak mula masuk industri lagi, sudah macam-macam cerita timbul. Fokus saya tetap pada kerja dan keluarga.
“Selebihnya, kalau ada orang cuba buat perkara yang tidak baik atau menyebarkan cerita bukan-bukan, saya serahkan kepada Allah.
“Ini lumrah sebagai anak seni. Bila dikenali, orang bebas berkata apa saja. Yang penting, kita kena sentiasa bersedia, bersikap terbuka dan menunjukkan contoh yang baik kepada peminat,” katanya. – Agensi


