KUCHING, 16 NOV – Kanak-kanak tidak seharusnya dijadikan bahan kandungan politik termasuk pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang sedang berlangsung ketika ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata faktor paling penting adalah peranan ibu bapa dalam memastikan anak-anak tidak terdedah kepada aktiviti yang boleh memberi kesan negatif terhadap masa depan mereka.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah berulang kali mengingatkan semua pihak agar tidak mengeksploitasi golongan itu dalam apa jua bentuk kandungan digital.
“Jika ibu bapa sendiri tidak membenarkan, eksploitasi tidak akan berlaku.
“Anak-anak sepatutnya diberikan didikan positif, bukannya digunakan untuk mengkritik atau mengutuk mana-mana parti politik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Latihan Kesaksamaan Ketidakupayaan (DET) dan Perkhidmatan Job Coach, hari ini.

Sementara itu, Nancy berkata kerajaan melalui pelbagai agensi terus memperkukuh program pendidikan dan advokasi kanak-kanak.
Beliau berkata Program Kasih Kanak-Kanak setakat ini telah dilaksanakan di 337 sekolah dengan penyertaan 128,148 pelajar, melepasi sasaran awal sebanyak 300 sekolah.
“Selain itu, program melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut menekankan pendidikan kesihatan reproduktif dan pembangunan pekerti bagi membantu pelajar memahami tanggungjawab sosial serta membuat keputusan yang lebih bijak.” – Bernama

