Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Vibrant Skin-illuminating Toner dari Filipina telah didapati dicemari dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan susulan ujian makmal Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Makmal Saintifik, Kementerian Kesihatan.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, produk berkenaan didapati mengandungi hydroquinone, bahan yang boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat kepada kesihatan.
Hydroquinone adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ia dilarang sebagai bahan dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007.
Penggunaannya tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, hipersensitiviti, bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatkan risiko kanser kulit.
Sehubungan itu, orang ramai yang telah menggunakan produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta merta.
Jika mereka mengalami kesan buruk dan merasa tidak sihat selepas menggunakan produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.
Kementerian Kesihatan juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan jika mendapati produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.
