Monday, May 12, 2025
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan jadi api dalam hubungan persahabatan

    SERIBU orang kawan belum sama taranya dengan nilai seorang sahabat. Begitulah ibarat tingginya nilai seorang sahabat. Mencari sahabat sejati umpama mencari mutiara di pasiran. Ia amat berharga tetapi sukar ditemui.

    Adakah anda mempunyai sahabat baik? Jika ada, anda patut bersyukur kerana dikurniakan sahabat. Jika anda belum mempunyai sahabat, berusahalah mencarinya.

    Ahli bijak pandai pernah menyatakan bahawa ‘selemah-lemah manusia ialah orang yang tidak mencari sahabat dan orang yang paling lemah ialah orang yang mensia-siakan sahabat yang dimilikinya.’

    Sahabat itu ialah insan yang sentiasa bersama kita sama ada kita suka ataupun duka. Ketika kita senang, ramai kawan akan berada di samping kita, tetapi apabila dilanda kesusahan, di situlah kita dapat melihat seseorang itu benar-benar sahabat kita ataupun sekadar nama.

    Sahabat yang baik tidak menyebarkan keburukan kita

    Sahabat yang baik ialah orang yang tahu tentang kelemahan kita tapi akan berbicara tentang kelebihan kita pada orang lain. Ketika orang lain berbicara buruk tentang kita, dia yang menyokong kita dan bercerita tentang kebaikan kita.

    Masing-masing akan sibuk dengan kehidupan sendiri. Namun, carilah waktu dan luangkan masa bersama-sama. Tidak perlulah sampai menonton wayang, bersiar-siar atau sebagainya. Cukuplah duduk berdua dan bercerita tentang diri masing-masing ketika ada waktu terluang. – Gambar hiasan
    Sudah menjadi lumrah dalam perhubungan persahabatan, adakalanya timbul salah faham yang mengakibatkan pergaduhan. Ketika salah seorang menjadi api, biarlah kita menjadi air. Mengalah bukan bererti kita kalah. – Gambar hiasan

    Berhati-hatilah mencari sahabat kerana jika tersilap mencari sahabat, sahabat itulah musuh paling berbahaya kerana dia sudah mengetahui kelebihan dan kekurangan kita.

    Terdapat satu cara bagi menguji sahabat sama ada dia benar-benar sahabat yang baik ataupun sebaliknya.

    Apabila kita ingin mengambil seseorang menjadi sahabat, ujilah sahabat kita dengan membuatnya marah. Kemudian, suruhlah orang lain bertanya padanya tentang kita dan rahsia kita.

    Sekiranya dia masih lagi memperkatakan perkara baik tentang kita dan masih lagi menyimpan rahsia kita ,maka ambillah dia sebagai sahabat.

    8 rahsia mengekalkan persahabatan sehingga selamanya

    1. Berkawanlah ikhlas kerana Allah

    Ya, inilah kunci utama mengekalkan persahabatan. Apabila kita ikhlas berkawan kerana Allah, kita dapat menerima kelebihan dan kekurangannya.

    2. Jangan menjadi api

    Sudah menjadi lumrah dalam perhubungan persahabatan, adakalanya timbul salah faham yang mengakibatkan pergaduhan. Ketika salah seorang menjadi api, biarlah kita menjadi air. Mengalah bukan bererti kita kalah.

    3. Tanam sifat saling percaya

    Dalam perhubungan persahabatan, adakalanya ada pihak ketiga yang cuba memporak perandakan hubungan anda. Jangan bertindak melulu. Percayalah sahabat anda kerana anda lebih mengenalinya berbanding orang lain.

    4. Sentiasa berbincang

    Ketika berlakunya salah faham, ambillah masa untuk bertenang. Setelah menenangkan diri, berjumpalah dengan sahabat anda dan berbincang dengannya tentang masalah yang berlaku.

    Dengar dahulu penjelasan daripada sahabat anda sebelum anda menjatuhkan ‘hukuman.’ Mungkin berlakunya salah faham atas sebab masalah dalam komunikasi antara anda berdua.

    5. Carilah orang tengah yang mampu membantu

    Ketika berlakunya salah faham, carilah orang tengah yang mampu membantu anda dan sahabat anda menyelesaikan salah faham. Namun, anda haruslah berhati-hati kerana jika tersalah pilih orang, orang tengah mungkin akan mengeruhkan lagi keadaan anda dan sahabat anda.

    6. Luangkan masa bersama

    Masing-masing akan sibuk dengan kehidupan sendiri. Namun, carilah waktu dan luangkan masa bersama-masa. Tidak perlulah sampai menonton wayang, bersiar-siar atau sebagainya. Cukuplah duduk berdua dan bercerita tentang diri masing-masing ketika ada waktu terluang.

    7. Terimalah kelebihan dan kekurangannya

    Memang tiada manusia yang sempurna. Kadangkala kekurangannya menguji kesabaran kita. Contohnya, sahabat kita memang seorang yang panas baran. Kadangkala tanpa sebab yang pasti, kita dimarahinya. Bersabarlah. Terima sikap itu sebagai kekurangannya sebagaimana dia menerima kekurangan kita. Manusia ini tiada yang sempurna kan?

    Sahabat itu ialah insan yang sentiasa bersama kita sama ada kita suka ataupun duka. Ketika kita senang, ramai kawan akan berada di samping kita, tetapi apabila dilanda kesusahan, di situlah kita dapat melihat seseorang itu benar-benar sahabat kita ataupun sekadar nama. – Gambar hiasan

    8. Sentiasa bersama di kala susah dan senang

    Carilah sahabat yang mampu bersama di kala kita senang mahupun ketika ditimpa kesusahan. Kawan ketawa mudah dicari, tetapi kawan menangis susah dicari. Mesti anda pernah dengar kan? Carilah sahabat yang mampu berbahagi kesenangan dan kesusahan bersama kita.

    Oleh itu hidup terlalu sunyi tanpa seorang sahabat. Seorang sahabat boleh menjadi seseorang yang amat penting dalam hidup kita. Agama kita juga menganjurkan kita bersilaturrahim. Ikatan persahabatan juga boleh disemarakkan lagi dengan saling memberi hadiah.

    Kehidupan para ulama salaf juga penuh dengan perkara seperti ini. Mereka saling memberi hadiah, sekecil apapun bentuknya, kadangkala ada yang hanya berupa kurma yang belum masak, ada yang berupa setangkai bunga mawar, ada yang hanya berupa garam yang ditumbuk dan tumbuhan yang wangi harumnya.

    Sahabat, engaku insan istimewa

    Terlalu sunyi kehidupan ini tanpa kehadiran seorang sahabat yang sejati. Bertambah sunyi tanpa sesiapa yang menemani. Dalam mengharungi keindahan berteman dan bergembira, tentunya ada tercalit sedikit sebanyak sembilu yang terbenam di jiwa.

    Namun, biasanya sahabat akan terus memendam rasa demi persahabatan yang dicinta. Diamnya penuh doa agar persahabatan akan berlangsung dengan lebih sempurna. Sebarang kekurangan akan boleh diperbaiki segera.

    Tatkala berteman, jagalah tutur kata

    Bergurau menambah ceria, namun terlebih gurau juga akan menukar rasa. Kita jangan samakan sahabat kita seperti kita. Mungkin sesuatu yang boleh kita terima dan kita anggap simple, namun baginya sesuatu yang sensitif yang boleh mengundang sedikit hampa.

    Selami hati sahabat kita

    Sepertimana kita mahu dia memahami kita dan menjauhi perbuatan-perbuatan yang tidak kita suka. Seorang sahabat akan menerima segala baik buruk yang ada pada diri sahabatnya. Kerana dia tahu, sahabatnya itu tidak sempurna dan sahabatnya itu memerlukan dia untuk sama-sama memperbaiki sebarang cela.

    Jika kita hanya mencari kesempurnaan untuk menobatkan seseorang sebagai sahabat, kita sedang mencari bayang-bayang hitam yang sememangnya tidak akan pernah tergenggam.

    Kau punya cara dan dia juga

    Janganlah kita mempersenda atau memperlekehnya hanya kerana caranya yang sedikit berbeza atau sedikit pelik berbanding orang lain. Hormati caranya selagimana ia tidak menyalahi apa-apa.

    Biarlah dia dengan sifat diamnya, kita tidak boleh memaksanya membuka mulut menjadi seperti yang kita suka. Atau biarlah dia dengan kegirangannya dan kita boleh untuk tumpang ceria.

    Dan, paling penting, seorang sahabat tidak akan pernah membuka cerita tentang anda kepada teman-teman yang lain. Dalam erti kata lain, mengumpat! Sahabat akan selalu melindungi sahabatnya dari menjadi buah mulut orang lain. Menegur tidak salah malah itulah tanda cinta.

    Tapi, bagaimana caranya?

    Ajak dia berbincang dengan baik, bersemuka dua muka dan beritahu sedalamnya apa kesalahan yang telah diperbuat. Bukannya kita mencari kesalahannya dan membuka sesi bual bertopikkan dia.

    Jika sama-sama cuba mencari jalan penyelesaian, itu tidak mengapa. Perindahkan cara supaya tiada hati yang akan terluka. Apa guna persahabatan yang di luaran memang rapat tidak berjauhan, tetapi di hati menyimpan sesalan dan cemuhan. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda