Oleh Nurdiyanah R.
Buli bukan lagi mainan, bukan lagi gurauan, tetapi isu buli itu sememangnya sesuatu yang perlu dipandang dan ditangani bersama.
Oleh itu, alangkah indahnya sesebuah negara, apabila usaha membanteras perbuatan buli itu ditangani oleh semua lapisan masyarakat yang bukan hanya tertumpu kepada satu pihak semata-mata.
Ketika mengimbas kembali perkongsian yang ditegaskan oleh Ahli Psikologi Klinikal, Ketua Strategik Kesihatan Mental, Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Dayang Nor Syahmun binti Haji Matassan kepada penulis yang antaranya berkata apabila seseorang yang melakukan penyalahgunaan kuasa seperti menghina secara berulang-ulang sehingga memudaratkan emosi atau jiwa dan maruah seseorang, itulah hakikatnya perbuatan buli secara umumnya yang perlu kita banteras bersama.
Ketahui gejala buli
Dalam pada itu, pada asasnya, ujar beliau dengan lebih lanjut, gejala buli itu boleh dibahagikan kepada empat jenis iaitu buli lisan, buli fizikal, buli sosial dan juga buli siber atau atas talian.
Jelasnya, sekiranya seseorang itu melakukan perbuatan mengejek, mencerca dan menyindir atau menghamburkan kata-kata kesat kepada seseorang individu yang lain seperti disebabkan kelainan pada nama, fizikal dan rupa paras seseorang sehingga membabitkan gangguan emosi seseorang, itulah yang dikategorikan sebagai buli verbal atau lisan.
Manakala apabila seseorang memukul mangsa menggunakan tangan, kaki atau objek secara berterusan sama ada dilakukan secara persendirian atau beramai-ramai hingga menyebabkan kecederaan dan begitu juga mengugut atau memaksa seseorang melakukan sesuatu perkara dengan kekerasan itu dikatakan buli fizikal.
Selain itu, buli sosial juga boleh terjadi apabila seseorang yang bersikap tidak baik menghasut atau menyebarkan kata-kata yang tidak berasas kepada orang lain dengan tujuan bagi merenggangkan hubungan dengan seseorang mangsa.
“Dalam era yang semakin canggih ini, salah satu sikap yang tidak sopan meliputi memperdayakan mangsa di alam siber dan juga menjatuhkan maruah mangsa secara terang-terangan seperti menghina dengan kata-kata kesat sehingga mampu diketahui oleh orang ramai juga boleh dikategorikan sebagai buli siber atau atas talian seperti meninggalkan komen yang tidak senonoh menerusi Instagram, Facebook atau Twitter tanpa sedar atau disengajakan.”
“Namun, ia bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan jika berlakunya penghinaan, kekerasan emosi atau jiwa kepada seseorang mangsa meskipun hanya sekali.
“Hal ini merupakan perbuatan yang tidak baik kerana ia bagaikan ‘bunga-bunga’ yang boleh membawa kepada gejala buli yang hakikatnya boleh menyumbang pelbagai implikasi negatif jika berterusan,” tegasnya.
Hakikatnya apabila seseorang mangsa yang dibuli akan mengalami simptom-simptom tertentu yang semestinya boleh mendorong kepada perkara yang tidak diingini.
Impak psikologi dalaman
Oleh itu Dayang Nor Syahmun antaranya turut mengongsikan bahawa antara kesan jangka panjang psikologi secara dalaman seperti kebimbangan, kemurungan dan cepat putus asa.
“Apabila ini berlaku dalam kalangan kanak-kanak atau pelajar, ia akan menyebabkan pelajar yang dibuli itu berasa takut dan tidak berani datang ke sekolah lagi, lebih-lebih lagi, tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran.
“Selain itu, kes buli yang keterlaluan boleh menyebabkan mangsa buli hilang pertimbangan dan kewarasan sehingga tergamak untuk menamatkan nyawa mereka sendiri atau terbabit dalam aktiviti kurang sihat,” tambahnya lagi.
Beri perhatian, tanggungjawab bersama
Dayang Nor Syahmun turut menyarankan bahawa bukan hanya kepada agensi-agensi tertentu bahkan semua pihak meliputi ibu bapa, guru-guru dan juga masyarakat semestinya bangkit berjuang bagi menegakkan keadilan dalam membanteras dan mengurangkan masalah buli ini sebelum nasi menjadi bubur.
Tegasnya, ibu bapa perlu memerhatikan tingkah laku anak mereka yang mungkin berubah secara drastik menjadi pendiam, takut, tidak gembira, muram atau kurang selera makan. Jika anak dibuli secara fizikal, ia adalah lebih mudah bagi ibu bapa untuk mengenal pasti tanda fizikal pada badan mereka.
Di samping itu, ibu bapa juga hendaklah menerapkan ajaran agama, moral dan nilai murni kepada anak-anak sejak kecil lagi.
“Dengan curahan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya akan membantu anak-anak mereka membesar dengan sempurna.
Anak yang berkeperibadian terpuji merupakan anak-anak yang membesar dalam sebuah keluarga yang bahagia.
Mereka tidak akan tergamak untuk menyakiti dan membuli orang lain kerana ibu bapa telah menyemai ajaran-ajaran yang baik serta berguna di jiwa mereka sejak kecil, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya,” ujar beliau semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata.