Saturday, May 10, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan jadikan teknologi komunikasi medan penyebaran umpat dan fitnah

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Kecanggihan dunia teknologi pada masa ini tidak dapat disangkal lagi. Banyak ciptaan teknologi baharu muncul, ditambah lagi dengan ‘update’ (penaik tarafan) barisan teknologi yang sedia ada, di samping kemunculan sistem teknologi tanpa wayar (wireless) menjadikan dunia semakin kecil, kerana maklumat mengenai global dapat diperolehi dengan hanya menekan komputer atau telefon bimbit yang canggih dan komunikasi antara satu dengan yang lain menjadi semakin mudah.

    Dari segi individu pula semakin ramai kini yang celik teknologi maklumat dan komunikasi ini. Penggunaannya menjadi satu trend kehidupan masyarakat masa kini. Segenap lapisan masyarakat daripada golongan pemimpin, para professional malahan golongan kanak-kanak pun kini menjadikan teknologi ini sebagai medium informasi dan perhubungan dalam perkara harian. Teknologi maklumat dan komunikasi dikatakan banyak memberi manfaat kepada dunia moden ini.

    Sejak akhir-akhir ini, muncul banyak penulisan, imej dan video yang diposkan menerusi teknologi maklumat dan komunikasi melalui laman-laman sosial dan aplikasi-aplikasi tertentu seperti Whatsapp, Facebook dan yang seumpamanya. Maklumat atau berita tersebar dengan pantas tanpa sempadan.

    Kadang-kadang maklumat atau berita tersebut langsung tidak mendatangkan manfaat kepada orang-orang yang dikirimkan, hanya sebagai hiburan dan jadi bahan ketawa semata-mata. Yang membimbangkan jika terdapat antara maklumat atau berita yang disampaikan berupa pembohongan semata-mata, dan lebih dahsyat lagi jika pembohongan itu menjadi fitnah, seterusnya mengaibkan mana-mana pihak atau individu tertentu.

    Umpat dan fitnah melalui teknologi maklumat dan komunikasi seperti blog, email atau WhatsApp juga dianggap sebagai satu bentuk penyebaran umpat dan fitnah. – Agensi

    Apa dia teknologi maklumat dan komunikasi?

    Menurut Kamus Dewan, maksud teknologi maklumat ialah teknologi yang berkaitan dengan pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan dan penyebaran maklumat melalui penggunaan teknologi komputer dan telekomunikasi.

    Adapun fungsi teknologi maklumat dan komunikasi ini amat banyak, antaranya:

    – Untuk mendapatkan maklumat sama ada maklumat umum seperti mencari maklumat mengenai kebudayaan sesebuah negara atau maklumat untuk bahan kerja seperti guru yang mencari bahan untuk pengajarannya.

    – Menjadi medium untuk maklumat atau komunikasi kerja seperti Dropbox, email dan yang seumpamanya.

    – Menjadi medium pembelajaran seperti e-Learning atau e-Tutor dan yang seumpamanya.

    – Menjadi bahan bacaan yang mudah seperti eBook dan yang seumpamanya.

    – Menjadi medan perbincangan dan bertukar-tukar pendapat antara keluarga atau rakan-rakan seperti perkhidmatan ‘group chat’ di dalam MSN room atau Whatsapp.

    – Menjadi medium untuk meluaskan perniagaan seperti Facebook, blog persendirian dan yang seumpamanya.

    Banyak lagi fungsi teknologi maklumat dan komunikasi yang mendatangkan manfaat kepada penggunanya, namun yang pasti terdapat dua faktor utama yang menguntungkan pengguna dengan pemakaian teknologi ini iaitu penjimatan masa dan penjimatan kos. Yang jelas manfaat dan keuntungan banyak diperolehi dengan adanya teknologi maklumat dan komunikasi pada era ini.

    Hukum mengumpat dan memfitnah orang lain

    Umpat dan fitnah merupakan perbuatan yang dikeji dan yang dibenci Allah. Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullahu Ta‘ala, hukum mengumpat dan memfitnah dengan lidah itu adalah haram.

    Allah mencela pengumpat dan menyamakan mereka ini seperti memakan daging bangkai saudaranya sebagaimana dalam firmanNya yang tafsirnya:

    “Dan janganlah setengah kamu mengumpat akan setengahnya yang lain. Sukakah seseorang dari kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.” (Surah al-Hujuraat: 12)

    Maksud ‘umpat’ adalah sesuatu yang disebut mengenai orang lain dengan perkara yang dibenci oleh orang tersebut jika sampai kepadanya, sama ada menyentuh mengenai kekurangan pada fizikal seseorang, contoh: mata si Polan juling, atau menyentuh mengenai keburukan keturunan seseorang, contoh: bapa si Polan seorang fasiq, atau menyebut keburukan akhlak, contoh: si Polan seorang bakhil atau mengata kekurangan ugama seseorang itu, contoh: si Polan berpura-pura alim dan yang seumpamanya.

    Perlu diingat bahawa me-ngatakan mengenai seseorang walaupun perkara itu benar dianggap sebagai mengumpat sebagaimana yang diriwayat-kan daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata yang maksudnya:

    “Sesungguhnya Rasulullah bersabda: “Tahukah kamu apa itu ghibah (mengumpat)?”

    Para sahabat berkata: “Allah dan RasulNya yang lebih tahu.” Baginda bersabda: “(Mengumpat itu ialah) penyebutanmu terhadap saudaramu tentang sesuatu yang tidak disukainya.”

    Dikatakan: “Apakah pendapat Tuan jika yang aku katakan itu memang benar ada pada saudaraku?”

    Baginda bersabda: “Jika apa yang engkau katakan itu memang benar maka sesungguhnya engkau telah mengumpatnya, tetapi jika apa yang engkau katakan itu tidak benar, maka sesungguhnya engkau telah membuat dusta kepadanya.”

    (Hadis riwayat Muslim)

    Adapun umpat atau fitnah yang dicela syarak itu tidak hanya terbatas pada umpat atau fitnah dengan lidah bahkan juga dengan perbuatan. Imam al-Ghazali Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitab beliau Ihya ‘Ulumiddin menyebutkan bahawa menyebarkan dengan apa sahaja cara umpat atau fitnah yang boleh difahami sama ada dengan percakapan, isyarat dan tulisan juga adalah haram.

    Adapun banyak perkara yang mendorong seseorang itu mengumpat atau memfitnah, antaranya:

    – Untuk meredakan kemarahannya terhadap orang tersebut dengan cara mengumpat atau memfitnahnya.

    – Dengki atau iri hati terhadap seseorang yang mendapat pujian, disukai atau dimuliakan oleh orang ramai. Untuk menghilangkan segala kemuliaan itu, maka disebarkan berita buruk mengenai orang tersebut.

    – Untuk gurauan dan untuk mengisi waktu dengan gelak tawa, maka disebut keaiban orang lain.

    – Mengejek dan menghina. Perbuatan ini dapat dilakukan sama ada ketika kehadiran orang yang diejek atau semasa ketiadaannya.

    Apabila dilihat kepada perkara di atas, jelas bahawa punca seseorang itu mengumpat atau memfitnah orang lain adalah untuk mengaibkan dan menjatuhkan maruah orang yang diumpat atau difitnahnya. Inilah antara perbuatan yang sangat-sangat dilarang oleh Islam, sama ada disedari ataupun tidak.

    Menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi sebagai tempat penyebarluasan umpatan atau fitnah

    Walaupun penggunaan sumber teknologi maklumat dan komunikasi memberi banyak kebaikan dan manfaat kepada penggunanya, namun jika disalahgunakan ia juga merupakan medium terhebat untuk menyebarluaskan perkara-perkara yang tidak elok pada pandangan syarak, antaranya:

    – Menjadi medan untuk mengata atau mengaibkan orang lain.

    – Menjadi tempat perdebatan dan bertegang urat.

    – Menjadi saluran untuk meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap sesuatu pihak sehingga boleh menaikkan kemarahan orang ramai terhadap pihak tersebut.

    – Menjadi tempat penyebarluasan masalah sosial, bukan sahaja di kalangan remaja, malahan kanak-kanak dan orang-orang dewasa.

    Kesemua penyalahgunaan di atas memberi impak negatif pada individu, masyarakat malahan agama dan negara seperti semakin tersebar luas umpat dan fitnah di kalangan masyarakat.

    Persoalannya adakah umpat dan fitnah menggunakan teknologi komunikasi dan maklumat juga dianggap seperti umpat dan fitnah yang dilarang syarak?

    Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullahu Ta‘ala sebagaimana di atas, bahawa salah satu bentuk umpatan dan fitnah adalah dengan tulisan, sebagai contoh: Seorang pengarang buku dengan jelas menyebut orang tertentu di dalam penulisannya bahawa: ‘Si Polan itu begini dan begini’, dengan tujuan menyebutkan kekurangan dan menghinanya, maka yang sedemikian itu hukumnya adalah haram.

    Oleh yang sedemikian, maka umpat dan fitnah melalui teknologi maklumat dan komunikasi seperti blog, email atau WhatsApp juga dianggap sebagai satu bentuk penyebaran umpat dan fitnah dengan tulisan dan ini juga merupakan perbuatan yang dicela oleh syarak.

    Ini kerana penyebaran dalam bentuk ini juga tidak sunyi daripada kejahatan umpat dan fitnah seseorang terhadap orang lain.

    Perlu kita sedar, penyebaran umpat dan fitnah melalui kemudahan teknologi dan komunikasi ini turut menyumbang kepada perpecahan dan perbalahan ummah, bahkan ianya lebih dahsyat lagi daripada penyebaran biasa kerana kepantasan penyampaian yang sekelip mata dengan hanya menekan ‘send’ (hantar/kirim) terus kepada penerima dapat merealisasikan niat buruk seseorang yang ingin mengaibkan atau menjatuhkan maruah orang lain.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda