ALOR SETAR, 29 DIS – Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak ‘menjual’ akaun bank milik mereka kepada mana-mana pihak bagi mengelak digunakan untuk penipuan dalam talian atau ‘scammer’.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata banyak kes keldai akaun yang berlaku adalah disebabkan pemilik asal akaun bank itu bertindak menyerahkan butiran akaun kepada pihak ketiga dengan tawaran mendapat bayaran secara bulanan.
“Ada yang sanggup serahkan akaun bank mereka dengan tawaran bayaran antara RM200 hingga RM300 sebulan. Ia tidak berbaloi,” katanya kepada pemberita selepas Program Townhall ‘Ancaman Scammer’ di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini. – Bernama


