Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Ketentuan ajal setiap manusia sudah ditakdirkan oleh Allah SWT sejak azali lagi dan apabila sudah sampai waktunya, ia tidak akan dapat dipercepatkan atau dilewatkan walaupun sesaat.
Khatib dalam khutbah Jumaatnya hari ini menekankan bahawa setiap yang bernyawa pasti akan merasa mati yang bermaksud terputus hubungan antara roh dan jasad dan ia adalah titik permulaan menuju ke alam akhirat.
“Kita tidak dapat lari daripadanya, tidak kira di mana pun kita berada atau bersembunyi sama ada kita bersedia mahupun tidak, ia pasti akan terjadi,” ujar khatib lagi.
Sebagai umat Islam, setiap insan mengharapkan agar kematian berakhir dalam keadaan khusnul khotimah dan bukan dalam keadaan su’ul khotimah.
Khusnul khotimah bermaksud berakhirkan kehidupan manusia di dunia ini dengan kesudahan yang baik iaitu mati dalam keadaan beriman, manakala su’ul khotimah membawa maksud berakhirnya kehidupan manusia dengan kesudahan yang buruk iaitu mati di luar iman.
Keadaan kematian kita, tegas khatib, bergantung kepada amalan yang dilakukan di sepanjang kehidupan.
“Bagi orang yang bendar-benar beriman, mereka akan berasa gerun, gentar dan bimbang dengan pengakhiran kehidupan mereka sama ada termasuk dalam golongan khusnul khotimah atau su’ul khotimah.”
Oleh itu, jelas khatib, hati mereka sentiasa terdorong dan terpanggil untuk melakukan amal soleh, istiqamah dalam menjalankan perintah Allah dan menjauhi laranganNya dengan harapan supaya termasuk ke dalam golongan yang disebutkan oleh Allah di dalam Al-Quran.
“Terdapat beberapa cara untuk mendapatkan khusnul khotimah itu, antaranya melakukan ketaatan dan ketakwaan kepada Allah dan meninggalkan segala laranganNya,” tambahnya.
Selain itu, umat Islam juga diseru agar sentiasa memohon doa kepada Allah dengan bersungguh-sungguh supaya pengakhiran kehidupan dalam keadaan beriman dan bertakwa di samping sentiasa berusaha membaiki diri sama ada zahir atau batin di samping menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan sama makhluk Allah supaya sentiasa mendapat rahmat dan hidayah Allah.
Di samping itu, setiap insan juga digesa untuk sentiasa bertaubat, menyesali dan menginsafi segala kesilapan serta berazam untuk tidak mengulangi lagi kesalahan yang dilakukan.
Sesungguhnya, Allah itu Maha Penyayang, Maha Pengampun lagi Maha Pengasih dan sentiasa memberikan hamba-hambaNya peluang untuk memperbaiki diri sendiri.
“Berapa ramai yang kita kenal telah menemui ajal mereka secara tiba-tiba atau dalam keadaan yang tidak disangka atau diduga seperti terbakar, lemas, ketika bersukan, ketika makan, ketika tidur, ketika usia masih muda, ketika sihat dan tidak kurang ada yang menemui ajal sebelum sempat bertaubat daripada melakukan perkara maksiat,” jelasnya.
“Keadaan mana satu yang kita harapkan sebagai pengakhir kehidupan kita?”, jelasnya.
Sesungguhnya hidup di dunia ini hanyalah sementara dan janganlah kita lalai dengan dunia, leka dengan kesenangan yang ada tanpa meningkatkan amal dan takwa kepada Allah untuk bekal di akhirat kelak.
Ajal pasti datang tanpa mengira waktu, tegasnya, tanpa mengira keadaan, usia dan di mana jua kita berada.
Dalam perkara ini, khatib menekankan untuk berusaha menjadi umat Islam yang benar-benar beriman dan bertakwa dengan mendekatkan diri kepada Allah dan melaksanakan urusannya dengan sempurna dan berdoa semoga kesudahan kehidupan tergolong dalam khusnul khotimah.
“Di samping itu, diberi kesempatan bertaubat sebelum menemui kematian, mendapat rahmat ketika menghadapi kematian, keampunan selepas kematian, mendapat kebahagiaan di hari perhitungan (akhirat) terlepas daripada seksaan dan azab api neraka serta dimasukkan ke dalam syurga bersama para nabi, orang syuhada dan orang soleh,” tambahnya.