Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Orang ramai di negara ini dinasihatkan supaya tidak leka terhadap apa jua arahan atau saranan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan kerana kekhuatiran itu masih ada, walaupun Negara Brunei Darussalam tidak mencatatkan kes baharu COVID-19 lebih 50 hari.
Nasihat berkenaan dibuat oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa sesi soal jawab pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
“Di sekeliling kita masih ada kes-kes, di negara jiran dan di luar sana masih ada penularan wabak COVID-19 ini,” tekan Yang Berhormat Dato lagi.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut menambah bahawa keputusan serologi di Negara Brunei Darussalam juga menunjukkan terdapat penularan dalam masyarakat yang terhad.
“Jadi kita perlu masih mengambil langkah berjaga-jaga terhadap penularan ini,” tegas beliau.
