Monday, May 12, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jangan lupa beristighfar

    minda_logo indahnya Islam

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    SIRI 2

    Di waktu sahur

    WAKTU sahur yang dimaksudkan di sini adalah waktu satu pertiga yang akhir dari malam hingga terbit fajar. Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:

    “Tuhan kita akan turun ke langit dunia pada setiap malam ketika berbaki satu pertiga yang akhir pada setiap malam, seraya berfirman: Siapa yang berdoa kepadaKu, maka Aku akan mengabulkannya, dan siapa yang meminta daripadaKu, maka Aku akan memberinya, dan siapa yang memohon ampun kepadaKu, maka Aku akan mengampunkannya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

    Ketika terbenam matahari

    Beristighar pada waktu terbenamnya matahari juga antara masa yang digalakkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah Radhiallahu ‘anha bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam mengajarkannya sebuah doa, maksudnya:

    “Ya Allah, ini adalah penemuan malamMu, dan perginya siangMu, dan (kedengaran) suara-suara mua’zzin menyeruMu, dan kehadiran sembahyang-sembahyangMu, aku memohon kepadaMu agar Engkau memberi keampunan kepadaku.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi)

    Di waktu hendak masuk tidur

    Daripada Abu Sa‘id Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya, “Barangsiapa membaca ketika dia hendak pergi ke tempat tidurnya iaitu “Aku memohon ampun kepada Allah, yang tiada tuhan selainNya, yang hidup lagi berdiri dengan sendirinya, dan aku bertaubat kepadaNya” sebanyak tiga kali, nescaya diampunkan oleh Allah segala dosa-dosanya.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi)

    Di waktu keluar dari tandas

    Diriwayatkan daripada Yusuf bin Abi Burdah Radhiallahu ‘anhu, bahawa beliau mendengar ‘A’isyah Radhiallahu ‘anha berkata yang maksudnya, “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam apabila keluar dari tandas, Baginda membaca iaitu “Aku memohon keampunan Engkau wahai Tuhanku.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

    Setelah selesai berwudhu’

    Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam mengajar umatnya tentang doa setelah berwudhu’, maksudnya: “Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hambaNya dan rasulNya. Ya Allah, jadikanlah aku antara orang-orang yang bertaubat, dan jadikanlah aku antara orang-orang yang menyucikan diri.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi)

    Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam juga beristighfar pada bacaan ketika wudhu’. Dalam satu riwayat daripada Abu Musa Radhiallahu ‘anhu, bahawa dia datang menemui Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang sedang berwudhu’ dan dia mendengar Baginda Sallallahu ‘alaihi Wasallam berdoa, maksudnya: “Ya Allah, ampunkanlah segala dosa-dosaku, dan luaskanlah rumahtanggaku, dan berikanlah keberkatan pada rezekiku.” (Hadis riwayat Al-Baihagi)

    Ketika masuk ke dalam masjid

    Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam apabila masuk ke dalam masjid, Baginda membaca, maksudnya: “Ya Allah, ampunkanlah segala dosa-dosaku, dan bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmatMu.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

    Ketika keluar dari masjid

    Apabila keluar dari masjid, Baginda Sallallahu ‘alaihi Wasallam membaca, maksudnya: “Ya Allah, ampunkanlah segala dosa-dosaku, dan bukakanlah bagiku pintu-pintu kelebihanMu.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

    Ketika ruku‘

    Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘A’isyah Radhiallahu ‘anha bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam ketika rukuk membaca, maksudnya: “Maha Suci Engkau wahai Tuhan kami, dan dengan memuji Engkau, Ya Allah ampunkanlah aku.” (Hadis riwayat Muslim)

    Ketika sujud

    Pada ketika sujud, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam juga membaca, maksudnya: “Maha Suci Engkau wahai Tuhan kami, dan dengan memuji Engkau, Ya Allah ampunkanlah aku.” (Hadis riwayat Muslim)

    Kemudiannya Baginda Sallallahu ‘alaihi Wasallam membaca, maksudnya: “Ya Allah, ampunkanlah atas semua dosa-dosaku, baik yang halus mahupun yang besar, baik yang awal mahupun yang akhir dan baik yang terang mahupun yang tersembunyi.” (Hadis riwayat Muslim)

    Ketika duduk di antara dua sujud

    Apabila duduk antara dua sujud, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam akan membaca, maksudnya: “Ya Allah, ampunkanlah aku, rahmatilah aku, bantulah aku, muliakanlah aku, berikanlah rezeki kepadaku dan berikanlah petunjuk kepadaku dan berikanlah kemaafan kepadaku.”

    Doa seumpama ini diriwayatkan dalam beberapa hadis Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam.

    Baginda Sallallahu ‘alaihi Wasallam juga membaca, maksudnya: “Wahai Tuhanku, ampunkanlah aku, ampunkanlah aku.” (Hadis riwayat an-Nasai’e)

    Sesudah tasyahhud

    Abu Bakar ash-Shiddiq Radhiallahu ‘anhu pernah diajarkan oleh Rasulullah Salllallahu ‘alaihi Wasallam satu doa yang dibaca di dalam sembahyang (ketika duduk di dalam tasyahhud), maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku telah menganiayai diriku dengan aniaya yang banyak, dan tiada ada yang dapat mengampunkan dosa-dosa kecuali Engkau.

    Maka ampunkanlah aku dengan keampunan dariMu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Sesudah memberi salam di akhir sembahyang

    Diriwayatkan daripada Tsauban Radhiallahu ‘anhu, katanya yang bermaksud:

    “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam apabila ingin berpaling dari sembahyangnya (selepas memberi salam), Baginda akan beristighfar sebanyak tiga kali, kemudian berkata ertinya: Ya Allah! Engkau Maha Penyelamat dan daripada Engkau keselamatan, dan keberkatan daripadaMu Wahai Tuhan yang mempunyai ketinggian dan kemuliaan.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi)

    Bersambung minggu depan

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda